Terapi oksigen tekanan tinggi untuk kanak-kanak dan orang dewasa dengan gangguan spektrum autisme (ASD)

Latar belakang

Gangguan spektrum autisme (ASD) dikaitkan dengan masalah dalam komunikasi sosial dan tingkah laku terhad. Terapi oksigen tekanan tinggi (hiperbarik) telah dicadangkan sebagai rawatan untuk gejala ASD ini. Kami mengulas bukti mengenai kesan terapi oksigen tekanan tinggi (hiperbarik) di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan ASD. Kami juga menilai bukti tentang keselamatan terapi oksigen tekanan tinggi.

Soalan ulasan

Adakah terapi oksigen tekanan tinggi meningkatkan komunikasi sosial atau aspek fungsi lain pada kanak-kanak dan orang dewasa dengan ASD, dan sejauh manakah terapi ini selamat?

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data elektronik dan mengenal pasti kajian terkawal rawak (di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang terdiri daripada peserta yang menerima terapi oksigen tekanan tinggi atau udara bilik atau tiada rawatan sebagai kawalan.

Bukti ini adalah sehingga Disember 2015.

Keputusan utama

Kami menemui satu kajian kecil terhadap 60 kanak-kanak yang menilai terapi oksigen tekanan tinggi untuk ASD.

Tiada bukti bahawa terapi oksigen tekanan tinggi meningkatkan interaksi sosial, masalah tingkah laku, pertuturan atau komunikasi bahasa, atau fungsi mental pada kanak-kanak dengan ASD. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang menerima terapi oksigen tekanan tinggi (hiperbarik) menunjukkan peningkatan kejadian barotrauma telinga jika dibandingkan dengan mereka dalam kumpulan kawalan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah. Bukti tidak mencukupi untuk mengesahkan bahawa oksigen tekanan tinggi adalah rawatan yang berkesan untuk individu dengan ASD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information