Masa dan dos kortikosteroid yang berbeza untuk mengelakkan kecederaan paru-paru

Soalan ulasan

Apakah masa dan dos kortikosteroid (kelas ubat yang menyekat keradangan) yang terbaik untuk mencegah kecederaan paru-paru pada bayi yang dilahirkan sangat awal.

Latar belakang

Bayi yang dilahirkan terlalu awal mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kecederaan paru-paru. Dalam istilah perubatan, ini dipanggil penyakit paru-paru kronik (CLD) atau displasia bronkopulmonari (BPD). Keradangan paru-paru adalah salah satu punca masalah paru-paru, dan atas sebab ini kajian telah menyiasat ubat anti-radang yang dipanggil kortikosteroid. Kajian ini menunjukkan bahawa rawatan kortikosteroid mengurangkan risiko BPD, tetapi ia juga dikaitkan dengan kesan sampingan yang serius terhadap perkembangan di kemudian hari. Untuk mengurangkan kesan sampingan ini, doktor telah mencari alternatif bagi ubat-ubatan ini, seperti menangguhkan permulaan terapi kortikosteroid ke tempoh kemudian dalam hidup, menurunkan jumlah dos ubat yang diberikan, memberi ubat hanya untuk beberapa hari dan kemudian berhenti seketika. untuk beberapa waktu dan bukannya setiap hari, atau menetapkan jumlah dos atau tempoh pengambilan ubat bergantung pada keadaan bayi dan bukannya menggunakan dos standard untuk semua bayi.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data elektronik dan mendapati 16 kajian menyiasat dua atau lebih penggunaan kortikosteroid yang berbeza dalam bayi pramatang. Penggunaan yang disiasat berbeza dalam jumlah dos ubat yang diberikan, masa permulaan ubat, dan tempoh serta jadual terapi.

Keputusan utama

Kami mengenal pasti 16 kajian yang menyiasat masa permulaan dan dos terapi kortikosteroid yang berbeza. Kajian yang membandingkan penggunaan dos yang lebih tinggi berbanding penggunaan dos yang lebih rendah menunjukkan tiada perbezaan dalam peluang untuk mengembangkan BPD antara kedua-dua kumpulan, tetapi terdapat kebimbangan peningkatan risiko perkembangan yang lemah di kemudian hari untuk bayi yang menerima jumlah dos ubat yang lebih rendah. . Kajian yang menyiasat permulaan steroid lebih awal berbanding kemudian tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam hasil. Tambahan pula, pemberian steroid pada beberapa hari dengan jeda di antara setiap hari menunjukkan peluang BPD yang lebih tinggi berbanding dengan rawatan harian. Menetapkan jumlah dos dan tempoh kursus bergantung kepada prestasi bayi tidak menunjukkan perbezaan berbanding pemberian standard untuk semua bayi.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sangat terhad terhadap bukti, kerana kebanyakan kajian mempunyai batasan dalam reka bentuk kajian. Kebanyakan kajian mempunyai saiz sampel yang kecil, dan terdapat perbezaan yang besar antara kajian yang menyukarkan untuk membandingkannya. Kebanyakan kajian terlalu singkat untuk memberikan maklumat tentang perkembangan jangka panjang bayi. Oleh itu, tidak begitu diketahui apakah kursus terapi terbaik untuk mencegah BPD.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga September 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information