Apakah trombosis salur vena dalam?
Trombosis salur vena dalam (deep vein thrombosis, DVT) berlaku apabila darah beku terbentuk, biasanya di dalam salur vena kaki ataupun pelvis. Kira-kira 1 dalam 1000 orang akan mendapat DVT. Jika tidak dirawat, darah beku ini boleh bergerak di dalam salur darah dan menyumbat saluran darah di dalam paru-paru. Keadaan yang mengancam nyawa ini dipanggil embolisme pulmonari (pulmonary embolism). Ia berlaku kepada kira-kira 3 hingga 4 orang bagi setiap 10,000 orang. Peluang untuk mendapat DVT meningkat jika anda mempunyai faktor-faktor risiko tertentu. Ini termasuk mempunyai sejarah darah beku, tempoh pergerakan terhad yang berpanjangan (seperti menaiki kapal terbang atau rehat lama di atas katil), kanser, pendedahan kepada estrogen (kehamilan, kontraseptif oral atau terapi penggantian hormon), trauma dan gangguan pembekuan darah seperti trombofilia (pembekuan darah yang tidak normal). DVT didiagnos dengan menentukan faktor-faktor risiko dan melakukan ultrasound pada salur vena kaki.
Bagaimanakah trombosis salur vena dalam dirawat?
Jika DVT disahkan, penghidap dirawat dengan antikoagulan: ubat yang sama ada boleh merawat atau menghalang pembekuan darah, sering dipanggil sebagai 'pencair darah'. Sebelum ini, ubat-ubatan pilihan ialah seperti heparin, fondaparinux dan antagonis vitamin K, yang dikenali sebagai 'antikoagulan konvensional'. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan kesan sampingan dan mempunyai limitasi tertentu.
Dua jenis antikoagulan telah dihasilkan: perencat trombin secara langsung (direct thrombin inhibitors, DTI) dan perencat faktor Xa (factor Xa inhibitors). Antikoagulan ini diberikan secara oral (iaitu ke dalam mulut, dalam bentuk pil), mempunyai kesan yang boleh diramal, tidak memerlukan pemantauan yang kerap atau dos semula (pengambilan dos berulang kali), dan mempunyai sedikit interaksi yang diketahui dengan ubatan lain. Atas sebab-sebab ini, antikoagulan oral secara langsung ini telah menjadi ubat pilihan bagi merawat DVT.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada antikoagulan oral secara langsung ini berguna dan selamat untuk merawat mereka yang mengalami DVT berbanding dengan rawatan konvensional.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian di mana mereka yang mempunyai DVT dibahagikan secara rawak kepada salah satu daripada dua kumpulan rawatan. Jenis kajian ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan. Pesakit di dalam kumpulan eksperimen menerima perencat trombin langsung secara oral atau perencat faktor Xa oral, dan keputusan mereka dibandingkan dengan keputusan mereka yang diberi antikoagulasi konvensional. Semua peserta diberi rawatan jangka panjang DVT (tempoh minimum 3 bulan).
Apa yang kami dapati?
Selepas mencari kajian yang berkaitan, kami menemui 21 kajian dengan 30,895 peserta. Kami menggabungkan data daripada kajian-kajian dan mendapati bahawa tiada perbezaan yang jelas dalam kejadian:
- tromboembolisme salur vena berulang (DVT, embolisme pulmonari, atau kedua-duanya);
- DVT berulang;
- embolisme pulmonari (darah beku di dalam paru-paru); atau
- kematian
antara mereka yang dirawat dengan perencat trombin langsung secara oral atau perencat faktor Xa oral berbanding mereka yang diberi antikoagulan konvensional.
Berbanding dengan rawatan konvensional, kedua-dua perencat trombin secara langsung dan perencat faktor Xa mengurangkan pendarahan yang banyak yang berlaku semasa rawatan DVT.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti secara amnya sederhana kerana secara keseluruhannya hanya beberapa orang sahaja yang mengalami kesan tersebut. Bukti yang kami jumpai telah menjawab soalan yang kami bincangkan secara langsung dan hasil kajian adalah konsisten. Walau bagaimanapun, kajian lanjut diperlukan untuk meneroka bagaimana satu oral antikoagulan langsung dibandingkan dengan yang lain. Kajian yang direka dengan baik pada masa hadapan juga mungkin boleh memberikan bukti penting untuk sindrom pasca trombotik (keadaan yang boleh berlaku kepada orang yang mempunyai DVT dikaki, yang menyebabkan sakit kronik, bengkak dan gejala lain pada kaki) dan menjejas kualiti kehidupan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini Ulasan Cochrane yang lepas. Bukti adalah terkini sehingga 1 Mac 2022.
Mesej utama
Apabila merawat mereka yang mempunyai DVT, bukti semasa menunjukkan bahawa terdapat kesan yang sama antara antikoagulan langsung secara oral dan antikoagulan konvensional untuk mencegah tromboembolisme vena berulang, DVT berulang, embolisme pulmonari dan kematian. Antikoagulan langsung secara oral mengurangkan pendarahan yang banyak berbanding dengan antikoagulan konvensional.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my