Penilaian procalcitnin untuk mengurangkan kematian dalam kalangan pesakit dewasa dengan sepsis

Soalan ulasan

Adakah penilaian procalcitonin berkesan bagi mengurangkan kematian dan tempoh menerima terapi antimikrobial dalam kalangan pesakit dewasa dengan sepsis?

Latar belakang

Sepsis didefinisikan sebagai jangkitan yang disahkan atau disyaki yang berkaitan dengan gejala tindak balas keradangan sistemik (SIRS). Keadaan ini boleh berkembang kepada kegagalan fungsi organ yang akut, dikenali sebagi ‘sepsis serius’; atau kepada pengurangan tekanan yang berterusan, walaupun selepas penggantian cecair yang mencukupi, yang dkenali sebagai ‘kejutan sepsis’. Procalcitonin (PCT) adalah indikator biologi di dalam darah yang didapati bertambah semasa jangkitan darah. Kami ingin menilai sama ada penilaian PCT boleh mengurangkan kematian dan tempoh menerima terapi antimikrobial dalam kalangan orang dewasa dengan jangkitan darah. Untuk itu, kami membandingkan PCT dengan tanpa apa-apa rawatan, dengan penjagaan piawai (hanya pertimbangan klinikal yang biasa) dan dengan indikator kimia darah yang lain. Kini, indikator kimia yang lain termasuklah protein C-reaktif (CRP), interleukins dan neopterin.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2015. Walaubagaimanapun, kami mengulangi carian pada Oktober 2016 dan akan memasukkan tiga kajian yang berkaitan apabila kami mengemaskini ulasan. Bagi versi ini, kami memasukkan 10 kajian dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini dijalankan di Australia, Brazil, China, Republik Czech, Perancis, Jerman, Indonesia dan Switzerland. Para penyelidik menilai peserta daripada jabatan-jabatan pembedahan akademik dan bukan akademik, unit-unit rawatan am dan unit rawatan rapi trauma (ICU) dan jabatan kecemasan. Semua kajian menganalisa pesakit dewasa dengan jangkitan darah yang disahkan atau disyaki. Kebanyakan perbandingan adalah berdasarkan ‘penjagaan standard’, kecuali satu kajian yang menggunakan terapi antibiotik berpandukan CRP. Dalam enam kajian, penulis kajian telah bertugas sebagai perunding untuk, dan/atau menerima bayaran daripada syarikat yang terlibat dalam analisa procalcitonin.

Dapatan utama

Keputusan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan dalam kematian pada susulan terpanjang (124/573; 21.6% berbanding 152/583; 26.1%), pada 28 hari (37/160; 23.1% berbanding 39/156; 25%), semasa discaj dari ICU (28/247; 11.3% berbanding 25/259; 9.6%) atau semasa discaj dari hospital (82/398; 20.6%) berbanding 81/407; 19.9%), masing-masing, bagi kumpulan PCT dan bukan PCT. Penyelidik juga mendapati tiada perbezaan dalam ventilasi mekanikal, keparahan klinikal, jangkitan semula atau tempoh terapi antimikrobial. Tiada kajian yang memberikan maklumat tentang peserta kajian yang rejim antimikrobial mereka ditukar dari spektrum yang luas kepada lebih kecil.

Kualiti bukti

Kami menganggap bukti yang sedia ada mempunyai tahap kualiti yang rendah hingga sederhana kerana ketiadaan kaedah yang menghalang kesilapan sepanjang kajian atau ketiadaan maklumat mengenai kaedah sedemikian, juga kemungkinan kekurangan bilangan kajian dan pesakit bagi setiap hasil. Tambahan pula, penulis untuk kebanyakan kajian tersebut bertugas sebagai perunding dan/atau menerima bayaran daripada syarikat yang terlibat dengan analisa procalcitonin.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information