Tambahan perampanel untuk epilepsi fokal yang tahan ubat

Mesej utama

Tambahan perampanel berkesan untuk mengurangkan kekerapan sawan dan boleh mengekalkan kebebasan dari sawan untuk orang yang mengalami epilepsi fokal yang tahan ubat. Perampanel boleh diterima dengan baik pada dos 8 mg/hari atau kurang.

Apakah epilepsi?

Epilepsi adalah antara salah satu gangguan otak yang paling biasa. Kira-kira 30% orang yang mengalami epilepsi akan terus mengalami sawan (aktiviti elektrik dalam otak meletus tiba-tiba yang mengubah cara ia berfungsi untuk masa yang singkat) walaupun dengan terapi yang mencukupi dengan ubat antiepileptik. Mereka ini dianggap mengalami epilepsi tahan ubat dan biasanya memerlukan rawatan dengan gabungan ubat antiepileptik. Perampanel ialah ubat antiepileptik yang lebih baru yang telah dikaji sebagai terapi tambahan untuk epilepsi fokal yang tahan ubat (apabila sawan bermula dari satu kawasan dalam otak).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada perampanel berkesan dan boleh diterima apabila digunakan sebagai terapi tambahan untuk orang yang mengalami epilepsi fokal yang tahan ubat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang menyiasat kesan perampanel sebagai terapi tambahan pada orang yang mengalami epilepsi fokal tahan ubat pada apa-apa umur.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tujuh kajian yang memenuhi kriteria kami. Kajian-kajian tersebut melibatkan 2524 orang, yang kesemuanya berumur 12 tahun dan ke atas. Semasa kajian berlangsung, pesakit menerima dos perampanel (2 mg sehari, 4 mg sehari, 8 mg sehari, atau 12 mg sehari) atau plasebo (rawatan dummy) sebagai terapi tambahan. Pesakit dalam kajian menerima rawatan mereka selama 12 hingga 19 minggu.

Keputusan utama

Pesakit yang menerima perampanel lebih berkemungkinan mengalami pengurangan 50% atau lebih dalam bilangan sawan yang biasa mereka alami. Sebilangan besar pesakit yang menerima perampanel bebas daripada semua sawan, tetapi mereka juga lebih cenderung untuk menarik diri daripada rawatan. Keputusan menunjukkan bahawa perampanel 8 mg sehari atau 12 mg sehari adalah paling berkesan untuk mengawal sawan; walau bagaimanapun, perampanel 12 mg sehari juga menyebabkan lebih ramai pesakit menarik diri daripada rawatan.

Pesakit yang mengambil perampanel lebih berkemungkinan mengalami kesan sampingan berbanding mereka yang mengambil plasebo. Kesan sampingan yang paling biasa termasuklah pening dan mengantuk.

Apakah batasan bukti?

Kami menilai bahawa kebanyakan kajian berisiko rendah untuk berat sebelah. Apabila kajian mempunyai risiko berat sebelah yang rendah, ini bermakna kesan yang dilaporkan oleh kajian harus boleh dipercayai. Kami juga menilai bukti yang digunakan dalam ulasan ini untuk kepastian. Kami menemui bukti berkepastian tinggi bahawa perampanel lebih berkemungkinan mengurangkan bilangan sawan sebanyak 50% atau lebih. Ini bermakna kami yakin bahawa penemuan ini adalah tepat. Terdapat bukti berkepastian rendah bahawa lebih ramai pesakit bebas daripada semua sawan, menarik diri daripada rawatan, dan mengalami masalah dengan koordinasi, keseimbangan dan pertuturan (dikenali sebagai ataxia) atau pening, bermakna penemuan untuk ukuran ini mungkin tidak tepat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information