Intervensi untuk hipotonik hiponatremia bukan hipovolemia kronik

Apakah isunya?

Kepekatan natrium yang rendah dalam darah boleh disebabkan oleh banyak keadaan dan dikaitkan dengan jangka hayat yang pendek dan tempoh tinggal di hospital yang lebih lama. Banyak rawatan, seperti menghadkan cecair atau pil air tertentu yang dikenali antagonis reseptor vasopressin boleh digunakan untuk meningkatkan kepekatan natrium dalam darah, selagi peningkatan berlaku cukup perlahan untuk mengelakkan kecederaan otak. Sama ada rawatan-rawatan ini turut menambah baik keputusan untuk pesakit (perasaan, fungsi, dan kehidupan pesakit) adalah kurang jelas.

Apakah yang pengulas lakukan?

Pengulas menyertakan kajian rawak terkawal (RCTs) dan kuasi-RCT yang membandingkan kesan-kesan sebarang intervensi dengan plasebo, tiada rawatan, penjagaan standard, atau sebarang intervensi lain dalam kalangan pesakit dengan hipotonik hiponatremia bukan hipovolemik kronik.

Apa yang pengulas temui?

Pencarian sistematik mereka (sehingga Disember 2017) mengenal pasti 35 kajian, melibatkan 3429 pesakit. Antagonis reseptor vasopressin mempunyai kesan yang tidak jelas ke atas risiko kematian dan kualiti hidup, dengan kajian tambahan diperlukan untuk menjawab persoalan ini. Ia mungkin meningkatkan kepekatan natrium dalam darah, tetapi kadangkala ia berlaku dengan sangat pantas. Tambahan pula, orang yang mengambil antagonis reseptor vasopressin berkemungkinan mengalami peningkatan kehausan dan pengeluaran air kencing. Sangat sedikit maklumat yang ada bagi mana-mana rawatan lain yang boleh didapati.

Kesimpulan

Bagi orang dengan kepekatan natrium dalam darah yang rendah, antagonis reseptor vasopressin meningkatkan kepekatan natrium secara sederhana. Kesan terhadap kematian dan kualiti hidup berkaitan kesihatan adalah tidak jelas dan tidak menolak manfaat atau kemudaratan yang besar; tiada kesan yang penting terhadap fungsi kognitif, tetapi tempoh tinggal di hospital berkemungkinan sedikit pendek, walaupun data yang sedia ada adalah terhad. Bukti bagi rawatan yang lain kebanyakannya tidak wujud.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information