Clonidine digunakan pada kulit untuk orang dewasa dengan sakit neuropatik kronik

Mesej utama

Kami tidak menemui bukti berkepastian tinggi untuk menyokong penggunaan clonidine yang digunakan pada kulit untuk neuropati diabetik yang menyakitkan. Kami tidak menemui bukti untuk keadaan sakit kronik yang lain.

Apa yang kami buat?

Untuk mengetahui cara clonidine digunakan pada kulit (clonidine topikal) berfungsi pada orang yang mengalami sakit neuropatik, kami mencari pangkalan data perubatan dan rujukan penerbitan dan pendaftaran atau kajian klinikal. Kami juga menghubungi pakar-pakar dalam bidang ini. Dua pengarang ulasan secara bebas menapis rujukan untuk kelayakan, mengekstrak data, dan menilai risiko berat sebelah. Apabila perlu, kami menghubungi pengarang kajian untuk meminta maklumat tambahan.

Apa yang kami dapati?

Kami mengenal pasti empat kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian itu berlangsung selama 8 minggu hingga 85 hari dan melibatkan sejumlah 743 peserta dengan neuropati diabetik yang menyakitkan. Clonidine (0.1% atau 0.2%) digunakan dalam bentuk gel pada kawasan yang menyakitkan dua hingga tiga kali sehari, dibandingkan dengan plasebo (rawatan palsu) dalam tiga kajian dan dengan capsaicin yang digunakan pada kulit dalam satu kajian.

Had dalam cara kajian dijalankan dan dilaporkan dan sedikit bilangan bukti yang ada bermakna keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad. Bukti menunjukkan bahawa pada orang dewasa dengan neuropati diabetik yang menyakitkan, clonidine topikal boleh memberikan kelegaan kesakitan pada sesetengah orang. Walau bagaimanapun, clonidine topikal tidak lebih baik daripada plasebo untuk hasil yang lain. Kami tidak menemui bukti perbezaan antara clonidine topikal dan capsaicin yang digunakan pada kulit dalam neuropati diabetik yang menyakitkan. Maklumat daripada kajian klinikal adalah tidak mencukupi untuk menilai kemungkinan kesan sampingan jangka masa panjang clonidine yang digunakan pada kulit; tetapi, kami mendapati bahawa sepanjang 8 hingga 12 minggu rawatan tiada bukti perbezaan dalam bilangan kesan sampingan antara kumpulan kajian. Kami juga tidak tahu daripada kajian yang disertakan bagaimana clonidine berfungsi dalam keadaan sakit neuropatik kronik yang lain.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan adalah terkini hingga 27 Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information