Intervensi pemakanan untuk sakit abdomen yang berulang dalam kanak-kanak.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti kesan intervensi pemakanan bagi sakit dalam kalangan kanak-kanak berumur di antara lima dan 18 tahun dengan sakit abdomen berulang (SAB).

Latar belakang

Sakit abdomen berulang, atau SAB, adalah istilah untuk episod sakit perut atau abdomen yang tidak jelas dalam kalangan kanak-kanak. Sakit abdomen berulang adalah keadaan lazim, dan kebanyakan kanak-kanak cenderung untuk dibantu dengan langkah-langkah mudah. Namun, beberapa rawatan telah disyorkan untuk melegakan sakit abdomen, termasuklah membuat perubahan kepada tabiat makan kanak-kanak dengan menambah suplemen atau menghalang makanan tertentu.

Ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2016.

Sembilan belas kajian menepati kriteria kemasukan kami termasuklah 13 kajian probiotik dan empat kajian intervensi serat. Kami juga mendapati satu kajian tentang diet rendah bahan yang dikenali FODMAPS (bahan organik boleh tapai oligoskarid, disakarid, monosakarid dan poliol) dan satu kajian tentang diet terhad fruktos.

Kesemua kajian membandingkan intervensi dengan plasebo atau kawalan. Kajian-kajian dilaksanakan di lapan negara dan melibatkan 1453 peserta berumur di antara lima dan 18 tahun. Kebanyakan kanak-kanak direkrut dari klinik pesakit luar. Kebanyakan intervensi berlangsung selama empat hingga enam minggu.

Keputusan utama

Probiotik

Kami menemui bukti dari 13 kajian yang mencadangkan probiotik mungkin berkesan dalam menambah baik sakit untuk jangka pendek. Kebanyakan kajian tidak melaporkan bahagian lain misalnya kualiti hidup harian. Tiada laporan tentang kesan buruk selain mulut kering dalam satu kajian. Kami menilai bukti ini sebagai berkualiti sederhana atau rendah kerana kajian adalah kecil, menunjukkan keputusan yang berbeza-beza atau berisiko bias.

Suplemen serat

Kami tidak menemui bukti jelas penambahbaikan sakit dari empat kajian siplemen serat. Kabanyakan kajian tidak melaporkan bahagian lain misalnya kualiti hidup harian. Tiada kesan buruk yang dilaporkan. Terdapat sedikit kajian suplemen serat, dan sesetengah kajian berisiko bias. Kami menilaikan bukti ini sebagai berkualiti rendah.

Diet FODMAP rendah

Kami menemui hanya satu kajian yang menilai keberkesanan diet FODMAP rendah dalam kalangan kanak-kanak.

Pemakanan terhad fruktos

Kami hanya menemui satu kajian yang menilai keberkesanan pemakanan terhad fruktos dalam kalangan kanak-kanak dengan RAP.

Rumusan

Kami memnemui cuma sedikit bukti yang mencadangkan probiotik mungkin membantu melegakan sakit dalam kanak-kanak dengan SAB untuk jangka pendek. Oleh itu, para pengamal perubatan boleh mempertimbangkan intervensi probiotik sebagai sebahagian strategi mengurus SAB. Kajian lanjutan diperlukan untuk mengetahui keberksanan probiotik bagi jangka masa lebih panjang dan probiotik manakah yang paling berkesan.

Kami tidak menemui bukti yang meyakinkan bahawa suplemen serat berkesan untuk menambahbaik sakit dalam kalangan kanak-kanak dengan SAB. Kajian masa hadapan yang lebih bermutu diperlukan untuk menguji keberkesanan rawatan serat dan diet rendah FODMAP.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information