Transfusi platelet untuk merawat pendarahan berbanding dengan transfusi platelet untuk mencegah pendarahan dalam pesakit kanser darah yang menerima rawatan intensif

Soalan ulasan

Kami menilai bukti mengenai sama ada memberi transfusi platelet kepada pesakit dengan platelet rendah yang mengalami pendarahan (secara terapeutik) adalah sama berkesan dan selamat seperti memberi transfusi platelet secara berkala untuk mencegah pendarahan (secara prophylactic). Populasi sasaran kami adalah pesakit kanser darah yang menerima rawatan kemoterapi myelosuppressive intensif (menyebabkan penurunan penghasilan sel darah) atau transplantasi sel stem.

Latar belakang

Pesakit kanser darah mungkin mempunyai bilangan platelet yang rendah disebabkan kanser berkaitan. Kanser darah mungkin dapat dirawat dengan kemoterapi dan transplantasi sel stem, yang boleh menyebabkan bilangan platelet yang rendah. Transfusi platelet mungkin diberi apabila bilangan platelet jatuh ke bawah bilangan platelet yang telah ditentukan (contohnya 10 x 10 9/L) untuk mencegah pendarahan, atau ia mungkin diberikan untuk merawat pendarahan (seperti hidung berdarah berpanjangan atau beberapa lebam). Penggunaan rutin transfusi platelet untuk mencegah pendarahan dalam pesakit-pesakit ini sebelumnya tidak disokong oleh bukti berkualiti tinggi.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2015. Dalam kemas kini ini, kami mengenal pasti tujuh kajian rawak terkawal yang membandingkan hanya memberi transfusi platelet untuk merawat pendarahan berbanding memberi transfusi platelet untuk mencegah dan merawat pendarahan. Satu kajian masih merekrut peserta dan belum selesai. Kami mengulas enam kajian rawak terkawal dengan sejumlah 1195 peserta. Kajian-kajian ini dijalankan antara tahun 1978 dan 2013. Lima daripada kajian tersebut menyertakan orang dewasa yang menerima kemoterapi atau transplantasi sel stem sebagai rawatan untuk kanser darah. Salah satu daripada kajian tersebut menyertakan kanak-kanak yang menerima kemoterapi untuk leukemia.

Empat daripada enam kajian melaporkan sumber dana; ini merupakan yayasan amal atau dana kerajaan.

Keputusan utama

Memberi transfusi platelet untuk mencegah dan merawat pendarahan dalam pesakit dengan bilangan platelet rendah disebabkan kanser darah atau rawatan mereka mungkin menyebabkan pengurangan pendarahan apabila dibandingkan dengan memberi transfusi platelet hanya untuk merawat pendarahan.

Mungkin tiada peningkatan risiko kematian atau kesan buruk jika transfusi platelet hanya diberikan untuk merawat pendarahan berbanding memberi transfusi platelet untuk mencegah dan merawat pendarahan, tetapi bukti adalah tidak mencukupi untuk memastikan perkara ini.

Memberi transfusi platelet hanya apabila pendarahan berlaku mungkin mengurangkan jumlah platelet yang diberikan.

Enam kajian tersebut tidak melaporkan sebarang hasil kualiti hidup.

Kualiti bukti

Bukti untuk kebanyakan penemuan adalah berkualiti rendah atau sederhana, kerana pesakit dan doktor mereka mengetahui lengan kajian yang mana pesakit telah diletakkan; hasil yang dilaporkan dalam kajian adalah sukar untuk dibandingkan kerana pendarahan diukur dan dilaporkan secara berbeza; dan beberapa hasil adalah tidak tepat, kerana hasil tersebut tidak berlaku dengan kerap (seperti kematian).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information