Apakah tujuan ulasan ini?
Kami mengulas bukti mengenai teknik pembedahan yang dikenali sebagai mastektomi mengekalkan kulit (SSM) (iaitu, mengeluarkan tisu payudara termasuk payudara dan areola (kulit yang mengelilingi puting) tetapi mengekalkan semua kulit yang meliputi payudara) berbanding dengan mastektomi biasa (iaitu, mengeluarkan kulit yang meliputi payudara termasuk puting dan areola).
Mesej utama
Kami mendapati bahawa SSM mungkin tidak berbeza daripada mastektomi biasa dari segi risiko kanser berulang di kawasan payudara (pengulangan setempat), peluang untuk mati akibat kanser payudara (kadar hidup keseluruhan) atau risiko komplikasi selepas pembedahan. Komplikasi selepas pembedahan yang dinilai termasuk kehilangan pembinaan semula payudara (di mana flap atau implan pembentukan semula payudara perlu dibuang melalui pembedahan akibat komplikasi), kematian sel kulit, jangkitan setempat, pendarahan, kualiti hidup, dan keputusan kosmetik. Keputusan ulasan ini adalah berdasarkan 14 kajian dan kebanyakannya mungkin ada berat sebelah disebabkan kelemahan dalam reka bentuknya.
Apakah mastektomi mengekalkan kulit?
Mastektomi biasa untuk kanser payudara adalah prosedur pembedahan yang terdiri daripada membuang keseluruhan tisu payudara, kulit yang melitupi payudara, dan kompleks puting-areola. Peluang kanser kembali ke dinding dada (tempat mastektomi) selepas pembedahan jenis ini adalah kira-kira 2.3% selepas 20 tahun. Cubaan untuk menambah baik hasil kosmetik telah membawa kepada penggunaan mastektomi mengekalkan kulit (SSM) sebagai alternatif kepada mastektomi biasa. Mengekalkan sebanyak mungkin kulit payudara meninggalkan sedikit tisu payudara dan memberikan kepuasan psikologi yang lebih tinggi serta persepsi kecederaan yang kurang. SSM telah digunakan untuk rawatan kanser payudara sejak dua puluh tahun yang lalu.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada SSM berkesan untuk merawat kanser payudara seperti mastektomi konvensional dan menilai sama ada kadar komplikasi pembedahan berbeza.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang membandingkan SSM dengan jenis mastektomi lain untuk rawatan kanser payudara. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati 14 kajian kohort (kajian yang mengikuti orang dari semasa ke semasa) melibatkan 12,283 pembedahan di mana 3183 orang menjalani SSM dan 9100 menjalani mastektomi konvensional.
Orang yang menjalani SSM atau mastektomi biasa mungkin serupa dari segi:
- peluang kanser kembali selepas pembedahan (1 kajian)
- survival (2 kajian)
- risiko komplikasi keseluruhan (4 kajian)
- risiko mengeluarkan flap pembentukan semula payudara atau implan akibat komplikasi (3 kajian)
- risiko kematian sel kulit (4 kajian)
- risiko jangkitan (2 kajian)
- risiko pendarahan (4 kajian)
Walau bagaimanapun, buktinya sangat tidak jelas.
Berdasarkan satu kajian, nampaknya tidak terdapat perbezaan dalam hasil estetik antara SSM dengan pembinaan semula payudara serta-merta berbanding dengan mastektomi biasa dan penangguhan pembinaan semula payudara. Satu kajian menilai kualiti hidup. Kajian itu mencadangkan kepuasan pesakit yang serupa, aktiviti sosial, aspek fizikal, dan keadaan umum pada orang yang mempunyai SSM diikuti dengan pembinaan semula payudara dan mereka yang mempunyai mastektomi tanpa pembinaan semula payudara.
Apakah batasan bukti?
Kajian yang ditemui kebanyakannya adalah secara retrospektif. Ini bermakna bahawa peserta telah dipilih beberapa tahun selepas pembedahan mereka, dan ditanya tentang pengalaman mereka selepas pembedahan, dan ini mungkin akan membawa berat sebelah ke dalam kajian penyelidikan. Daripada 14 kajian, dua kajian dimulakan pada masa pembedahan.
Orang yang menjalani mastektomi biasa mungkin berbeza dengan mereka yang menjalani SSM. Kebanyakan kajian tidak meneliti perbezaan ini semasa menganalisis data.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Ogos 2019.
Diterjemah oleh Low Jun Ming (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my