Terapi psikologi untuk rawatan gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia

Mengapakah ulasan in penting?

Ramai orang mengalami gangguan panik. Gangguan panik boleh berlaku dengan sendirinya atau dengan agoraphobia. Individu yang mengalami gangguan panik mengalami serangan panik yang berulang. Semasa serangan panik, individu merasakan ketakutan yang mendadak bersama-sama dengan siri gejala badan seperti jantung yang berdegup kencang, sakit dada, berpeluh, menggigil, pening, kemerahan, loya, pitam dan sesak nafas. Individu yang menghidap agoraphobia berasa sangat takut untuk mengalami serangan panik dalam situasi di mana melarikan diri mungkin sukar atau memalukan. Ketakutan ini sering membawa kepada mengelakkan situasi sedemikian.

Terdapat pelbagai jenis terapi bercakap yang digunakan untuk merawat gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia. Walau bagaimanapun adalah tidak jelas sama ada terapi bercakap tertentu lebih berkesan daripada yang lain untuk merawat gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia. Dalam ulasan ini kami membandingkan keberkesanan pelbagai jenis terapi bercakap.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Individu yang mengalami gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia.

Rakan dan keluarga individu yang mengalami gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia.

Pengamal am, ahli psikiatri dan ahli psikologi.

Profesional yang bekerja dalam bidang perkhidmatan kesihatan mental orang dewasa.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Adakah mana-mana terapi psikologi yang disertakan lebih berkesan dan lebih diterima daripada yang lain dalam mengurangkan gejala panik/agoraphobia secara cepat?

Bolehkah mana-mana terapi psikologi yang disertakan menjamin keputusan yang lebih baik satu tahun selepas tamat?

Kajian mana yang disertakan dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga 16 Mac 2015 untuk mencari semua kajian (khususnya kajian rawak terkawal) terapi bercakap dalam rawatan gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia. Untuk dimasukkan ke dalam ulasan kajian perlu memasukkan individu yang mempunyai diagnosis jelas gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia.

Kami memasukkan 60 kajian dalam ulasan. Lima puluh empat daripada kajian yang dimasukkan (melibatkan 3021 peserta) telah digunakan dalam analisis berangka. Penulis ulasan menilai kualiti keseluruhan kajian sebagai rendah hingga sangat rendah.

Apakah bukti daripada ulasan ini memberitahu kami?

Keputusan ulasan menunjukkan bahawa secara umumnya terapi bercakap adalah lebih berkesan daripada tiada rawatan. Tiada bukti kukuh untuk menyokong satu terapi bercakap berbanding yang lain untuk rawatan gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia pada orang dewasa. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bukti berkualiti rendah yang memihak kepada terapi tingkah laku kognitif (CBT), terapi psikodinamik dan psikoterapi sokongan berbanding terapi bercakap lain untuk remisi jangka pendek dan pengurangan gejala jangka pendek. Walau bagaimanapun, keputusan mengenai psikoterapi sokongan harus dilihat dengan berhati-hati kerana sedikit bukti yang tersedia mengenai rawatan ini. Sebaliknya, di luar bukti mengenai keberkesanannya, terapi psikodinamik juga menunjukkan keputusan yang baik dari segi penerimaan: sebagai cara menilai sejauh mana individu menerima terapi bercakap, kami menilai kadar keciciran jangka pendek. Kami mendapati bahawa terdapat kurang keciciran dalam terapi psikodinamik dan CBT gelombang ketiga, menunjukkan bahawa individu menerima terapi ini lebih baik daripada terapi lain.

Apa yang patut berlaku seterusnya?

Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk dapat membandingkan sepenuhnya keberkesanan terapi bercakap yang berbeza. Khususnya, lebih banyak kajian baharu diperlukan yang membandingkan terapi bercakap CBT tertentu, terapi psikodinamik dan psikoterapi sokongan untuk rawatan gangguan panik dengan atau tanpa agoraphobia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information