Mesej utama
Ulasan ini mendapati potensi kesan berfaedah antidepresan terhadap plasebo (rawatan plasu) dalam kalangan orang yang mengalami kemurungan akibat kanser. Walau bagaimanapun, bukti adalah tidak pasti, oleh itu sukar untuk membuat kesimpulan yang jelas. Penggunaan antidepresan pada orang yang menghidap kanser harus dipertimbangkan secara individu.
Apa isunya?
Kemurungan kerap berlaku dalam kalangan pesakit kanser. Biasanya simptom-simptom kemurungan adalah tindakbalas semulajadi ataupun kesan langsung terhadap suatu penyakit yang serius dan yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, agak sukar untuk menentukan bilakah simptom-simptom kemurungan ini menjadi satu gangguan yang sebenar yang perlu dirawat dengan ubat-ubatan. Bukti daripada penerbitan saintifik semasa mendedahkan bahawa simptom kemurungan, walaupun ringan, boleh memberi impak terhadap kanser, mengurangkan keseluruhan kualiti hidup pesakit dan menjejaskan pematuhan mereka terhadap rawatan anti-kanser, serta mungkin meningkatkan kemungkinan kematian.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin menilai keberkesanan dan penerimaan ubat antidepresan untuk merawat simptom kemurungan pada pesakit kanser di mana-mana bahagian badan dan tahap keterukan.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang direka dengan baik, yang membandingkan antara antidepresan dengan plasebo, atau antara antidepresan dengan antidepresan yang lain pada orang dewasa dengan diagnosis kanser dan kemurungan.
Apa yang kami dapati?
Kami menyemak 14 kajian yang menilai keberkesanan antidepresan dalam kalangan 1364 peserta. Kami mendapati bahawa antidepresan boleh mengurangkan simptom kemurungan selepas enam hingga 12 minggu rawatan dalam kalangan pesakit kanser. Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sejauh mana antidepresan diterima berbanding plasebo. Keputusan tersebut juga tidak menunjukkan sama ada terdapat antidepresan tertentu yang lebih baik atau lebih buruk berbanding mana-mana antidepresan yang lain dari segi kesan kebaikan atau kemudaratan.
Apakah batasan bukti?
Kepastian bukti kami adalah sangat rendah kerana kekurangan maklumat berhubung rekaan kajian, bilangan peserta yang sedikit dalam analisa keputusan, dan perbezaan ciri antara kajian dan keputusan yang diperolehi.
Apakah kesimpulannya?
Meskipun pesakit kanser terkesan dengan masalah kemurungan, kajian-kajian yang ada adalah sangat sedikit dan berkualiti rendah. Kami memerhatikan terdapat potensi kecil kesan berfaedah antidepresan dalam merawat gejala kemurungan dalam kalangan pesakit kanser. Walau bagaimanapun, penemuan ini disokong oleh bukti yang sangat rendah kualitinya. Untuk memaklumkan kepada doktor dan pesakit dengan lebih baik, kami memerlukan kajian yang lebih besar yang menetapkan orang untuk rawatan yang berbeza secara rawak. Pada masa ini, adalah sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang kesan antidepresan bagi merawat kemurungan dalam kalangan pesakit kanser. Ulasan kami nampaknya menunjukkan bahawa pesakit kanser harus dirawat dengan cara yang sama seperti populasi umum untuk pengurusan simptom kemurungan.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2022.
Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my