Suplemen asid lemak omega-3 dan omega-6 poli tak tepu untuk penyakit mata kering

Apakah tujuan ulasan ini?
Mata kering adalah keadaan mata jangka panjang yang boleh menyebabkan ketidakselesaan mata dan perubahan kepada penglihatan. Suplemen omega-3 dan omega-6, termasuk asid lemak omega-3 asid eicosapentaenoic (EPA) dan asid docosahexaenoic (DHA), telah dikaji sebagai rawatan untuk mata kering. Ulasan Cochrane ini merangkumi bukti penyelidikan yang terbaik.

Mesej-mesej utama
Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mendapatkan pemahaman sepenuhnya mengenai peranan suplemen omega-3 dan omega-6 dalam merawat penyakit mata kering, terutamanya dengan cara menggunakan terapi ini untuk merawat mata kering disebabkan oleh punca dan keterukan yang berbeza. Terdapat juga keperluan untuk penyelidikan yang lebih banyak untuk memberi maklumat tentang bagaimana ciri-ciri tambahan (contohnya, dos, bentuk, komposisi) menjejaskan hasil klinikal.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Hasil utama adalah peningkatan dalam gejala mata kering, diukur selepas sekurang-kurangnya satu bulan susulan. Hasil sekunder menimbangkan pelbagai langkah klinikal dan kesan sampingan.

Apakah hasil utama ulasan ini?
Kami termasuk 34 kajian rawak terkawal (RCTs) yang melibatkan lebih daripada 4314 peserta dewasa dari 13 negara.

Walaupun banyak bukti tidak pasti, suplemen omega-3 rantaian panjang mungkin tidak memberi faedah, berbanding dengan plasebo, pada gejala mata kering, tetapi memperbaiki beberapa tanda klinikal. Terdapat kesan yang baik terhadap gejala-gejala mata kering apabila suplemen omega-3 digabungkan dengan rawatan mata kering yang biasa (contohnya, air tiruan, pemadatan panas kelopak mata, titisan mata kortikosteroid) berbanding dengan rawatan standard sahaja dan apabila omega-3 rantaian panjang berbanding dengan suplemen omega-6. Kesan sampingan yang paling biasa adalah masalah gastrousus sementara.

Untuk suplemen gabungan omega-3 dan omega-6, berbanding dengan plasebo, tidak ada manfaat untuk pengeluaran air mata, dan sedikit peningkatan dalam kestabilan air mata. Kesan terhadap langkah klinikal lain, termasuk gejala mata kering dan kesan sampingan, tidak dapat ditentukan dengan jelas. Ia juga tidak jelas sama ada jenis lain kombinasi tambahan berkesan untuk merawat mata kering. Kami mempunyai keyakinan yang rendah dan sederhana dalam bukti untuk semua hasil.

Penemuan ini mencadangkan bahawa suplemen omega-3 rantai panjang mungkin mempunyai peranan dalam mengurus mata kering, namun bukti-bukti ini tidak konsisten dan lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Adakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Februari 2018. Carian atas dilakukan pada bulan Oktober 2019, namun hasilnya belum dimasukkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information