Tajuk ringkasan bahasa mudah
Adakah terapi pergerakan tarian mempunyai sebarang manfaat untuk penghidap demensia?
Mesej utama
Kami tidak tahu sama ada terapi pergerakan tarian adalah intervensi yang berkesan untuk demensia. Lebih banyak penyelidikan diperlukan dalam bidang ini terutamanya mengenai kesan terapi pergerakan tarian terhadap depresi.
Apa itu demensia?
Demensia menjejaskan pemikiran dan ingatan dan bagaimana seseorang menguruskan tugas harian. Pesakit demensia juga mungkin sukar untuk mengikuti perbualan, keliru dan mengubah mood pada masa yang berbeza. Simptom ini boleh menjejaskan komunikasi, dan membawa kepada kesunyian, seterusnya menyebabkan depresi dan peningkatan tahap tekanan.
Bagaimana demensia dirawat?
Demensia boleh dirawat melalui ubat-ubatan untuk mengurangkan simptom. Walau bagaimanapun, terdapat juga intervensi kompleks yang mula muncul yang menangani pesakit secara keseluruhan. Terdapat juga minat yang semakin meningkat dalam penggunaan tarian dan bentuk seni lain untuk penghidap demensia.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin menilai kesan terapi pergerakan tarian pada pelbagai aspek kehidupan seseorang berbanding tanpa rawatan, penjagaan standard atau sebarang rawatan lain. Hasil utama yang kami berminat ialah masalah keseluruhan dengan tingkah laku dan kesejahteraan mental, kognisi (berfikir dan mengingat), depresi dan kualiti hidup. Kami juga ingin membandingkan pelbagai bentuk terapi pergerakan tarian.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari literatur dengan teliti untuk kajian yang membandingkan sekumpulan orang yang mengalami demensia yang menjalani terapi pergerakan tarian dengan kumpulan orang yang mengalami demensia (kumpulan kawalan). Untuk perbandingan yang adil, pembahagian seseorang kepada kumpulan tertentu perlu diputuskan secara rawak. Kami hanya menjumpai satu kajian untuk disertakan dalam ulasan kami. Kajian itu telah dijalankan di Hong Kong dan melibatkan 204 orang. Sesetengah daripada mereka mengalami demensia ringan dan ada juga yang mengalami masalah pemikiran dan ingatan yang lebih ringan. Dalam kajian ini, para penyelidik membandingkan terapi pergerakan tarian dengan senaman dan dengan senarai menunggu. Mereka telah membandingkan kumpulan pada akhir terapi, tiga bulan kemudian dan sembilan bulan kemudian.
Apa yang kami temui?
Kami tidak menemui sebarang perbezaan antara terapi pergerakan tarian dan sama ada senaman atau senarai menunggu untuk keseluruhan tingkah laku dan kesejahteraan mental atau untuk kognisi. Untuk depresi, kami mendapati bahawa mungkin terdapat sedikit kesan berfaedah terapi pergerakan tarian berbanding dengan senaman atau senarai menunggu, dan kesan ini masih wujud tiga dan sembilan bulan selepas tamat terapi. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada kesannya cukup besar atau tidak untuk mempunyai kesan yang ketara kepada pesakit demensia. Kajian itu tidak mengukur kualiti hidup peserta.
Apakah batasan-batasan bukti?
Terdapat hanya satu kajian, jadi jumlah bukti adalah kecil. Kajian ini dijalankan dengan baik, tetapi tidak semua peserta mengalami demensia (sesetengahnya mempunyai masalah yang lebih ringan) dan kami tidak tahu sejauh mana keputusannya terpakai kepada penghidap demensia. Atas sebab ini, kami tidak pasti sama ada terapi pergerakan tarian berkesan dalam menyokong pesakit demensia ringan dan kami tidak boleh mengatakan apa-apa tentang kesannya dalam demensia sederhana atau teruk. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada terapi pergerakan tarian bermanfaat untuk penghidap demensia dalam sebarang keterukan dengan pasti.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Pencarian terakhir adalah pada 8 Disember 2022.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my