Gel dextrose oral untuk rawatan bayi baru lahir dengan paras glukosa darah yang rendah

Soalan ulasan

Bagi bayi baru lahir yang mengalami tahap glukosa darah rendah (hypoglycaemia), adakah gel gula yang diberikan melalui mulut (gel dekstrosa oral) lebih berkesan daripada tiada rawatan atau rawatan aktif lain dalam membetulkan paras glukosa darah rendah dan mengurangkan gangguan perkembangan saraf jangka panjang?

Latar belakang

Paras glukosa darah yang rendah (hypoglycaemia) pada bayi yang baru lahir adalah biasa dan kerap berlaku dalam sesetengah kumpulan yang berisiko (bayi yang ibunya kencing manis, bayi pramatang, bayi yang kecil dan besar). Bayi yang mempunyai paras glukosa darah yang rendah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk masalah perkembangan dalam masa yang akan datang. Untuk menguruskan keadaan ini, rawatan aktif biasanya digunakan, selalunya memerlukan penggunaan susu formula atau kemasukan ke unit rawatan rapi neonatal untuk menerima infusi cecair ke dalam urat, mengakibatkan pemisahan sementara daripada ibu. Gel Dextrose disapukan kebahagian dalam pipi adalah rawatan yang mudah dan selamat untuk penjagaan awal bayi yang mempunyai paras glukosa darah rendah. Kami sedang meneroka sama ada dextrose oral lebih berkesan daripada tiada rawatan atau rawatan aktif lain dalam membetulkan paras glukosa darah rendah pada bayi baru lahir dan mengurangkan kesan jangka panjangnya terhadap perkembangan saraf.

Ciri-ciri kajian

Dua kajian di negara berpendapatan tinggi telah menilai penggunaan gel dextrose oral untuk membalikkan tahap glukosa darah rendah dalam sejumlah 312 bayi. Penyiasat menyapu gel dekstrosa oral ke bahagian dalam pipi bayi untuk 157 bayi ini dan menyapu gel plasebo atau tiada gel untuk 155 bayi, dan kemudian memberi makanan biasa.

Hasil-hasil utama

Keputusan menunjukkan bahawa gel dextrose oral mungkin membetulkan episod individu paras glukosa darah rendah dan boleh mengakibatkan sedikit pengurangan risiko kecacatan utama pada usia dua tahun atau lebih; namun, buktinya tidak pasti. Bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada gel dekstrosa oral mengurangkan keperluan untuk rawatan lain. Gel dekstrosa oral berbanding gel plasebo mungkin mengurangkan pemisahan ibu dan bayi dan mungkin meningkatkan kemungkinan penyusuan susu ibu secara eksklusif selepas keluar dari hospital. Penyelidik melaporkan tiada kesan buruk apabila gel dextrose oral diberikan kepada bayi.

Kami mencari kajian sehingga Oktober 2021. Terdapat dua kajian berterusan yang mungkin mengubah kesimpulan ulasan ini apabila diterbitkan.

Kepastian bukti

Kajian yang ada adalah bersaiz kecil dan tidak ada kajian yang mencukupi dan pasti sepenuhnya tentang hasilnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (RUMC & UCD Malaysia campus). Disunting oleh Lai Nai Ming,(School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information