Latar belakang
Endometriosis adalah kemunculan tisu yang biasanya melapisi rahim di tempat selain rongga rahim, seperti ovari (di mana telur dihasilkan), tiub fallopio (yang menghubungkan ovari dan rahim) dan pelvis. Ia boleh menyebabkan kesakitan, kemandulan, dan gejala lain yang boleh mengurangkan kualiti kehidupan. Pelbagai jenis rawatan untuk endometriosis boleh didapati, salah satu termasuklah pembedahan laparoskopi (‘lubang kunci’), yang dilakukan untuk mengeluarkan bahagian endometriosis yang mampu dilihat. Para penulis Ulasan Cochrane telah menilaikan bukti tentang pengunaan pembedahan laparoskopik untuk merawat kesakitan dan masalah kemandulan dalam kalangan wanita dengan endometriosis. Teknik pembedahan laparoskopik termasuklah ablasi, iaitu bermaksud menghapuskan bahagian tertentu (contohnya, melalui pembakaran), dan pemotongan, yang bermaksud memotong keluar bahagian tersebut.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan 14 kajian klinikal (yang melibatkan 1563 perserta). Ia dijalankan di Australia, Kanada, Mesir, Perancis, Itali, Iran dan UK. Kebanyakannya membandingkan ablasi atau pemotongan secara laparoskopik berbanding laparoskopi diagnostik. Hanya enam dari 14 kajian yang dimasukkan melaporkan sumber dana mereka. Bukti adalah terkini sehingga April 2020.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa adalah tidak pasti sama ada pembedahan laparoskopi mampu memperbaiki kesakitan keseluruhan berbanding dengan laparoskopi diagnostik sahaja. Namun begitu, tiada data tentang kelahiran hidup; tetapi kami mendapati bahawa pembedahan laparoskopi mungkin dapat meningkatkan kadar kehamilan intrarahim (dalam rahim) berbanding dengan laparoskopi diagnostik sahaja. Kami tidak pasti sama ada pemotongan secara laparoskopik adalah lebih berkesan daripada ablasi untuk mengurangkan kesakitan, walaupun keputusan ini berdasarkan satu kajian. Bukti adalah tidak mencukupi tentang kesan-kesan sampingan bagi membenarkan apa-apa kesimpulan berkaitan keselamatan untuk digubal.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sederhana hingga sangat rendah berdasarkan keberkesanan pembedahan laparoskopik. Kajian-kajian tambahan adalah diperlukan dalam bidang ini, dan ia patut melaporkan titik akhri tertentu untuk endometriosis (contohnya, set hasil utama, dibangunkan oleh penjaga kesihatan profesional, penyelidik serta wanita dengan endometriosis) dan kesan-kesan buruk sebagai hasilnya.
Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my