Mesej-mesej utama
• FOLFIRINOX dan gemcitabine ditambah dengan taxane memanjangkan jangka hayat orang dengan kanser pankreas lanjutan berbanding gemcitabine sahaja.
• Penemuan kami mencadangkan kemoterapi kombinasi berasaskan fluoropyrimidine memanjangkan jangka hayat orang dengan kanser pankreas lanjutan berbanding gemcitabine ditambah taxane.
Apakah kanser pankreas?
Kanser pankreas adalah kanser yang sangat agresif, sering didiagnosis di peringkat akhir di mana pembedahan tidak dapat ditawarkan. Pada peringkat awal, sering tiada simptom tetapi pada peringkat akhir, ia boleh termasuk sakit abdomen, penurunan berat badan, mual, anoreksia, dan kulit dan mata kuning. Apabila didiagnosis di peringkat akhir, rawatan boleh merangkumi kemoterapi (ubat yang membunuh sel-sel kanser atau memperlambat pertumbuhannya), radioterapi (rawatan sinar-X), atau ubat-ubatan lain. Rawatan adalah bertujuan mengawal simptom yang berkaitan dengan kanser dan memanjangkan jangka hayat, tetapi bukan kuratif. Lebih ramai orang didiagnosis dengan kanser pankreas di seluruh dunia dan oleh itu ulasan ini penting untuk memahami cara terbaik merawat kanser pankreas lanjutan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Ulasan ini bertujuan mencari rawatan paling berkesan untuk kanser pankreas lanjutan yang tidak dapat disembuhkan. Kami juga ingin mengenal pasti kesan sampingan rawatan-rawatan tersebut.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari semua kajian dalam kalangan orang dengan kanser pankreas (1) lanjutan setempat, di mana kanser telah merebak dari pankreas ke tisu berdekatan; atau (2) metastatik, di mana kanser telah merebak ke bahagian badan lain. Kami mengumpul data tentang tempoh survival keseluruhan (masa hingga kematian akibat sebarang punca), kesan sampingan, dan kualiti hidup. Kami banding dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami sertakan 75 kajian melibatkan 11,333 peserta dalam ulasan ini. Kajian-kajian membandingkan satu terapi terhadap sama ada terapi sokongan terbaik (hanya simptom pengurusan) atau terapi jenis lain. Hanya satu kajian yang menyiasat radioterapi. Selebihnya menyiasat pelbagai rejimen kemoterapi (rancangan rawatan yang menentukan dos, jadual, dan tempoh rawatan). Oleh kerana kepelbagaian ini, kami dapat gabungkan keputusan dari pelbagai kajian hanya untuk beberapa perbandingan sahaja.
Perbandingan utama dan keputusan utama
Empat kajian memberbandingkan rejim kemoterapi - yang kini dianggap ketinggalan zaman - dengan penjagaan sokongan terbaik. Kemoterapi mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh survival. Kami tidak pasti tentang kesan sampingan kemoterapi dan impak terhadap kualiti hidup.
Lapan kajian membandingkan pelbagai rejimen kemoterapi dengan gemcitabine. Berbanding gemcitabine, 5-fluorouracil mungkin mengurangkan tempoh survival dan kesan sampingan. Memberi gemcitabine pada kadar dos tetap mungkin memperbaik survival dan meningkatkan kesan sampingan. Berbanding gemcitabine, FOLFIRINOX memperbaik survival kualiti hidup tetapi meningkatkan kesan sampingan.
Dua puluh lapan kajian membandingkan rejimen kemoterapi kombinasi berasaskan gemcitabine dengan gemcitabine sahaja. Berbanding dengan gemcitabine sahaja:
• gemcitabine ditambah platinum membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam survival, mungkin meningkatkan kesan sampingan, dan memburukkan lagi kualiti hidup.
• gemcitabine ditambah fluoropyrimidine mungkin memperbaik survival, meningkatkan kesan sampingan, dan memperbaik kualiti hidup.
• Gemcitabine ditambah perencat topoisomerase membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam survival dan kualiti hidup, dan meningkatkan kesan sampingan.
• gemcitabine ditambah taxane memperbaik survival dan kualiti hidup, tetapi meningkatkan kesan sampingan.
Sembilan kajian membandingkan pelbagai kombinasi kemoterapi dengan gemcitabine ditambah nab-paclitaxel. Berbanding gemcitabine ditambah nab-paclitaxel, kombinasi kemoterapi berasaskan fluoropyrimidine boleh memperbaik survival, menyebabkan satu set kesan sampingan yang berbeza, dan kemungkinan tidak mempengaruhi kualiti hidup. Berbanding pemberian piawai, cara alternatif pemberian gemcitabine ditambah nab-paclitaxel menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan survival, kesan sampingan, atau kualiti hidup.
Empat kajian membandingkan kombinasi berasaskan fluoropyrimidine dengan fluoropyrimidine sahaja. Rejimen gabungan memberi sedikit atau tiada impak terhadap survival, kesan sampingan, atau kualiti hidup berbanding fluoropyrimidine sahaja.
Kami tidak pasti tentang kesan radioterapi terhadap kanser pankreas kerana kami sertakan hanya satu kajian radioterapi berkualiti rendah.
Ringkasnya, ulasan ini menunjukkan dalam penyakit lanjutan, kemoterapi kombinasi dengan FOLFIRINOX (kombinasi 5-fluorouracil, leucovorin, irinotecan, oxaliplatin) dan gemcitabine ditambah taxane memanjangkan hayat orang dengan kanser pankreas lanjutan berbanding gemcitabine sahaja. Gabungan tersebut meningkatkan kesan sampingan berbanding memberikan hanya satu kemoterapi. Tambahan pula, bukti menunjukkan kombinasi kemoterapi berasaskan fluoropyrimidine memanjangkan hayat orang berbanding gemcitabine ditambah nab-paclitaxel.
Apakah batasan bukti?
Kami yakin, berbanding gemcitabine sahaja, (1) FOLFIRINOX dan (2) gemcitabine ditambah taxane memanjangkan hayat. Kami sederhana yakin kombinasi kemoterapi berasaskan fluoropyrimidine memanjangkan tempoh survival berbanding gemcitabine ditambah nab-paclitaxel. Pelbagai kombinasi fluoropyrimidine yang berbeza yang dikaji dalam perbandingan ini mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut. Umumnya, batasan bukti-bukti lain termasuklah terlalu sedikit kajian-kajian, kajian yang kecil, atau kedua-duanya, untuk beberapa perbandingan diminati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Universiti Kolej Manipal Malaysia).