Penyekat saluran kalsium untuk pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik yang memerlukan dialisis

Apakah isunya?
Pesakit dengan penyakit buah pinggang berjangka panjang atau penyakit buah pinggang kronik (CKD) sering mengalami tekanan darah tinggi (hipertensi), dan mereka dengan CKD peringkat lanjut memerlukan dialisis apabila buah pinggang mereka tidak lagi boleh berfungsi. Rawatan untuk hipertensi sering mencabar bagi pesakit dengan CKD peringkat lanjut yang sedang menjalani dialisis. Beberapa ubat digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi termasuk penyekat saluran kalsium (CCB).

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan CCB dalam pesakit dengan CKD yang sedang menjalani hemodialisis atau dialisis peritoneal mempunyai lebih manfaat berbanding dengan ubat lain yang digunakan untuk merawat hipertensi atau plasebo (tiada rawatan aktif) dalam mengurangkan tekanan darah, risiko kematian dan kesan-kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari penulisan sehingga April 2020 untuk mengenal pasti semua kajian yang telah menilai penggunaan CCB dalam orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai hipertensi dan CKD yang sedang menjalani hemodialisis atau dialisis peritoneal. Setiap kajian telah dinilai untuk kemungkinan bias atas beberapa domain yang telah ditentukan sebelumnya. Kami telah mengumpulkan keputusan kajian-kajian yang telah melaporkan mengenai hasil-hasil yang sama untuk perbandingan serupa dan yang telah melaporkan kesan-kesan keseluruhan. Kami telah memakai satu sistem yang dipanggil “GRADE” untuk menilai kualiti bukti yang telah kami temui.

Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menyertakan 13 kajian yang merawakkan 1459 orang dewasa yang sedang menjalani hemodialisis. Kami tidak dapat mencari sebarang kajian dalam kanak-kanak dan tiada kajian dalam pesakit-pesakit yang sedang menjalani dialisis peritoneal. Pesakit-pesakit dirawakkan kepada CCB, ubatan lain yang digunakan untuk merawat hipertensi, atau plasebo atau penjagaan piawai. Sesetengah kajian adalah berjangka pendek (selama beberapa bulan) dan komplikasi berkaitan dengan jantung tidak dinilai. Manfaat CCB berbanding dengan ubatan lain adalah tidak jelas, mungkin disebabkan oleh bilangan kecil peserta dan jumlah peristiwa-peristiwa keseluruhan. Apabila dibandingkan dengan plasebo atau tiada rawatan CCB mungkin mengurangkan tekanan darah sebelum hemodialisis, walaupun kualiti bukti tersebut adalah rendah.

Kesimpulan
Manfaat CCB berbanding dengan ubatan yang lain untuk merawat hipertensi tidak dapat ditentukan, manakala CCB mungkin boleh mengurangkan tekanan darah berbanding dengan plasebo atau penjagaan biasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information