Ubat yang diberikan kepada wanita hamil dan bayi mereka untuk memastikan mereka tidak bergerak semasa pembedahan janin dan prosedur invasif lain pada bayi

Kami mencari bukti daripada kajian rawak terkawal tentang keberkesanan ubat bius dan ubat tahan sakit untuk mencegah pergerakan janin (imobilisasi janin) untuk membolehkan pembedahan dan prosedur invasif lain dilakukan dengan selamat pada janin yang belum lahir semasa masih dalam rahim ibu.

Apakah isunya?

Penggunaan ultrasound semasa kehamilan telah membawa kepada kemajuan besar iaitu peningkatan diagnosis masalah dengan perkembangan pada bayi yang belum lahir. Banyak masalah struktur janin serta komplikasi yang berkaitan dengan kehamilan berganda boleh dirawat semasa bayi masih dalam rahim ibu. Banyak masalah biasanya memerlukan rawatan sebelum kelahiran, contohnya penyumbatan pada saluran pernafasan. Kami menetapkan untuk menentukan ubat-ubatan yang berkesan untuk menyediakan imobilisasi janin untuk prosedur dalam rahim yang akan dilakukan, serta melihat kesan ke atas ibu dari segi sedasi dan kelegaan kesakitan. Untuk prosedur ini untuk dilakukan dengan selamat, pergerakan janin mungkin perlu dikurangkan. Ini boleh dilakukan dengan memberi ubat sama ada kepada ibu (biasanya melalui suntikan ke dalam vena) atau terus kepada janin (dengan menyuntik ke dalam otot janin).

Mengapakah ini penting?

Rawatan isu struktur seperti masalah paru-paru atau jantung boleh menambahbaik hasil-hasil kehamilan dan bayi baru lahir. Begitu juga, dengan pelbagai komplikasi kehamilan seperti sindrom transfusi kembar-kembar, di mana terdapat perkongsian tidak sama rata satu plasenta antara kembar. Menyediakan keadaan pembedahan yang terbaik dengan pergerakan janin yang berkurangan bermakna prosedur itu boleh dilakukan dengan selamat dan mengurangkan komplikasi seperti kelahiran pramatang. Ia juga penting untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk ibu tanpa kesan sampingan seperti sedasi berlebihan atau kurangan kelegaan kesakitan semasa prosedur.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti daripada kajian rawak terkawal hingga Mei 2021 dan mengenalpasti satu kajian yang layak yang melibatkan 54 orang wanita hamil. Kesemuanya adalah wanita dengan kehamilan berganda pada trimester kedua mereka yang melawat ke hospital Eropah untuk penjagaan pakar. Wanita-wanita tersebut menerima suntikan sama ada remifentanil atau diazepam secara intravena untuk tujuan imobilisasi janin dan menenangkan ibu semasa pembedahan fetoskopik. Di sinilah alat kecil (laparoskop) dimasukkan melalui dinding perut ibu dan ke dalam rahim untuk melihat janin dan plasenta. Kajian ini memberikan bukti kepastian rendah. Hasil utama yang dilihat ialah berapa banyak pergerakan bayi melalui penilaian pergerakan badan dan anggota badan. Hasil ibu adalah jumlah sedasi dan kemurungan pernafasan. Masa untuk pembedahan dan tahap kepuasan pembedahan dengan keadaan prosedur juga diukur. Bukti kepastian rendah mencadangkan bahawa remifentanil mungkin lebih baik dalam mengurangkan pergerakan janin jika dibandingkan dengan diazepam dan pakar bedah lebih berpuas hati dengan prosedur apabila menggunakan remifentanil. Walau bagaimanapun, jumlah sedasi ibu dan kemurungan pernafasan adalah lebih teruk dengan remifentanil.

Apakah maksudnya?

Bukti kepastian rendah daripada satu kajian kecil bermakna kita tidak boleh yakin dengan keputusannya. Maklumat yang tersedia tentang hasil ibu, janin, dan bayi baru lahir adalah terhad. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk meningkatkan kepastian kami tentang kesan jangka panjang ubat yang digunakan untuk imobilisasi janin bagi prosedur dalam rahim terhadap janin dan bayi baru lahir, serta ubat lain yang mungkin sesuai untuk digunakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information