Tajuk
Terapi seni untuk orang dengan demensia
Latar belakang
Demensia adalah satu keadaan yang kerap menjejaskan ingatan seseorang. Ia juga boleh mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah laku seseorang. Demensia mempunyai kesan besar terhadap kesihatan dan masyarakat di seluruh dunia. Sesetengah jenis rawatan selain daripada ubat mungkin dapat membantu mereka dengan demensia.
Terapi seni adalah sejenis terapi psikologi, yang bermaksud rawatan untuk masalah minda dan tingkah laku. Seni boleh digunakan sebagai cara untuk meluahkan dan menyampaikan fikiran dan perasaan. Tujuan ahli terapi seni ialah supaya mereka dapat berkerjasama dengan pesakit dengan cara yang dapat membantu pesakit berubah dan ‘berkembang’ dengan kadar masing-masing. Ini dilakukan dengan menggunakan bahan seni dalam persekitaran yang selamat yang membolehkan proses ini dijalankan.
Ciri-ciri Kajian
Kami melihat kepada kajian penyelidikan orang dengan demensia yang lain melakukan terapi seni, berbanding dengan penjagaan biasa dan aktiviti lain. Kami melihat kesan terapi seni terhadap ingatan dan pemikiran, emosi, kesejahteraan, tingkah laku sosial dan kualiti hidup. Kami juga melihat kesan negatif dan kos terapi seni. Kami menemui dua kajian penyelidikan dengan seramai 88 orang warga emas yang mengambil bahagian. Terdapat keputusan untuk 60 orang. Satu kajian membandingkan kumpulan yang melakukan terapi seni atau aktiviti pengiraan mudah selama 12 minggu. Kajian lain membandingkan kumpulan yang melakukan terapi seni atau aktiviti rekreasi selama 40 minggu. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2017.
Keputusan Utama
Kedua-dua kajian ini mendapati tiada perubahan yang jelas terhadap daya ingatan atau kebanyakan hasil lain yang diperhatikan apabila membandingkan terapi seni dengan aktiviti-aktiviti lain.
Kualiti bukti
Kajian-kajian itu menjadi terhad disebabkan oleh banyak faktor yang mengurangkan kualiti penemuan - dianggap ‘sangat rendah’ dengan kaedah yang telah dikenali untuk menilai hasil ini. Setiap kajian menggunakan pelbagai jenis terapi seni. Ini menyukarkan penelitian bagi menilai keputusan bersama. Satu kajian mempunyai kadar yang tinggi peserta yang tidak melengkapkan kajian penyelidikan. Kajian-kajian tersebut melibatkan sejumlah kecil peserta, yang menjadikannya sukar untuk memastikan ketepatan penemuannya. Ini juga menyukarkan untuk mengetahui sama ada kesannya sama pada lebih ramai peserta. Terapi seni sukar diuji kesannya.
Lebih banyak kajian diperlukan terhadap topik ini. Tidak ada maklumat yang mencukupi daripada kajian penyelidikan tentang kesan terapi seni untuk orang dengan demensia. Ulasan ini mencadangkan cara-cara untuk melakukan penyelidikan bagi menilai kesan-kesan ini.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau).Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my