Akupunktur untuk hordeolum akut (stye)

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk membandingkan faedah dan kesan sampingan akupunktur dengan rawatan konvensional yang digunakan untuk merawat hordeolum akut (stye).

Mesej utama
Akupunktur, sama ada secara tersendiri atau bersama rawatan konvensional, boleh meningkatkan peluang hordeolum menjadi lebih baik (bukti kepastian rendah). Terdapat kekurangan maklumat mengenai kesan buruk. Kajian yang mempunyai rawatan susulan yang lebih lama dan yang mempunyai populasi kajian yang lebih berbagai diperlukan untuk mengetahui sama ada akupunktur benar-benar merupakan rawatan yang bermanfaat.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Hordeolum adalah nama perubatan untuk stye. Ia adalah ketulan kecil yang menyakitkan, atau nanah, di bahagian dalam atau luar kelopak mata. Biasanya, hordeolum akan hilang dengan sendirinya dalam masa seminggu atau lebih. Walau bagaimanapun, kes hordeolum yang serius boleh menjangkiti tisu dan kelenjar berdekatan. Jangkitan ini boleh mengakibatkan keadaan kelopak mata yang serius.

Rawatan biasa untuk hordeolum termasuk pemampat suam yang digunakan di rumah, ubat topikal dan scrub kelopak mata yang boleh didapati di kaunter, antibiotik atau steroid, urutan kelopak mata dan rawatan lain. Di negara-negara Asia Timur, akupunktur digunakan untuk merawat hordeolum, sama ada secara tersendiri atau di samping rawatan-rawatan konvensional tersebut. Menurut falsafah akupunktur tradisional Cina, tenaga berkitar dalam 'meridian' (atau saluran) melalui badan. Apabila peredaran tenaga meridian disekat oleh faktor patogen, kesakitan atau kesihatan yang tidak baik berlaku. Cara untuk memulihkan kesihatan adalah dengan menggunakan jarum halus untuk merangsang titik akupunktur yang sesuai dalam badan. Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan akupunktur tanpa rawatan, akupunktur palsu atau rawatan konvensional untuk menentukan rawatan yang paling berkesan untuk hordeolum akut.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui enam kajian dari China, yang menyertakan seramai 531 orang. Rawatan susulan adalah tidak melebihi tujuh hari selepas rawatan. Tiga kajian membandingkan akupunktur dengan rawatan konvensional yang berbeza dan tiga kajian membandingkan akupunktur ditambah rawatan konvensional berbanding rawatan konvensional sahaja.

Ulasan menunjukkan bahawa:

• Akupunktur boleh meningkatkan peluang hordeolum menjadi lebih baik berbanding dengan menggunakan antibiotik dan/atau kompres panas (bukti dengan kepastian rendah).
• Akupunktur digabungkan dengan antibiotik dan/atau kompres panas berbanding dengan antibiotik dan/atau kompres panas mungkin mampu meningkatkan peluang hordeolum menjadi lebih baik dengan sedikit (bukti kepastian rendah).
• Ia adalah tidak pasti sama ada terdapat sebarang kesan berbahaya akupunktur untuk hordeolum.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 7 Jun 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information