Kaedah untuk mengurangkan sakit bahu selepas pembedahan lubang kunci ginekologi

Soalan ulasan

Penulis Cochrane ingin mengetahui tahap keberkesanan kaedah (intervensi) yang berbeza dalam mengurangkan jumlah dan keterukan sakit bahu berikutan pembedahan lubang kunci ginekologi.

Latar belakang

Pembedahan lubang kunci ginekologi (laparoskopi) ialah prosedur di mana pakar bedah menggunakan kamera (laparoskop) untuk melihat bahagian di dalam abdomen bawah untuk melihat uterus (rahim), tiub fallopian dan ovari. Mereka juga boleh menggunakan instrumen khas untuk melakukan ujian atau merawat sesetengah keadaan ginekologi. Ia adalah prosedur yang biasa dilakukan ke atas kira-kira 250,000 wanita di UK setiap tahun. Sehingga 80% daripada wanita-wanita ini mungkin mengalami sakit pada hujung bahu (STP), yang mungkin sangat menyakitkan dan menyebabkan mereka terpaksa tinggal lebih lama di hospital, bahkan terpaksa dimasukkan semula ke hospital.

Semasa prosedur laparoskopi, pakar bedah memasukkan gas (karbon dioksida) ke dalam abdomen pesakit (pneumoperitoneum). Ini mengembungkan abdomen jadi pakar bedah dapat melihat organ-organ di dalam rongga abdomen agar pembedahan dapat dijalankan. Ada kemungkinan bahawa abdomen yang dikembungkan itu merangsang saraf yang bersambung dari bahagian atas abdomen (diafragma) hingga ke bahu dan leher, yang menyebabkan STP.

Kami melihat kepada beberapa cara pakar bedah berusaha mengurangkan STP: memasukkan anestetik setempat (ubat penghilang kesakitan) terus ke dalam rongga abdomen atau diafragma; menggunakan karbon dioksida yang dihangatkan, kadangkala dengan menambahkan lembapan (dilembapkan) semasa pembedahan; mengeluarkan gas dari rongga abdomen dengan saliran; menggantikan gas dengan cecair (kemasukan cecair) atau memaksa gas keluar dari rongga abdomen pada akhir prosedur dengan meningkatkan tekanan yang dihirup oleh pesakit semasa bernafas ketika kesan anestetik masih belum hilang (PRM).

Ciri-ciri kajian

Bukti kami berasal daripada 32 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam satu atau lebih kumpulan rawatan) dengan 3284 wanita dari 11 negara. Kajian tersebut membandingkan cara yang berbeza untuk mengurangkan insiden (jumlah bilangan STP berlaku) atau keterukan STP pada wanita yang menjalani laparoskopi ginekologi. Bukti adalah terkini hingga 8 Ogos 2018.

Keputusan utama

Wanita yang menjalani laparoskopi ginekologi mungkin mengalami kurang STP atau memerlukan kurang ubat penghilang kesakitan berikutan beberapa intervensi: teknik khusus untuk melepaskan pneumoperitoneum; meninggalkan cecair atau anestetik setempat (ubat penghilang kesakitan jenis cecair) di dalam abdomen atau memasang saliran dari dalam ke luar abdomen untuk jangka masa tertentu.

Terdapat bukti berkualiti rendah hingga sederhana bahawa intervensi berikut mungkin tidak memberikan perbezaan kepada insiden atau tahap keterukan STP: anestetik setempat (ubat penghilang kesakitan jenis cecair) yang hanya diletakkan di bahagian atas abdomen di bawah diafragma; gas karbon dioksida yang dihangatkan dan dilembapkan.

Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa laparoskopi tanpa gas dapat meningkatkan tahap keterukan STP, berbanding rawatan piawai.

Sedikit kajian melaporkan kesan sampingan (peristiwa buruk) dan beberapa intervensi yang berkemungkinan berguna belum dikaji oleh RCT laparoskopi ginekologi.

Kami mengambil pendekatan berhati-hati dengan hasil ini kerana bukti daripada kajian yang kami temui adalah kurang berkualiti (bukti berkualiti rendah hingga sederhana).

Kualiti bukti

Kajian dalam ulasan ini tidak menggunakan kaedah terbaik untuk mengumpulkan dan melaporkan bukti mereka dan kami berpendapat bukti tersebut hanya berkualiti rendah hingga sederhana. Ini bermakna kami tidak boleh terlalu yakin dengan keputusan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Maizura Mohamad (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information