Hydromorphone untuk rawatan kesakitan kanser

Latar belakang

Lebih 75% pesakit kanser mengalami kesakitan. Sekitar 30% hingga 50% pesakit mengalami kesakitan yang sederhana hingga teruk, yang boleh memberi kesan negatif pada kehidupan seharian. Kesakitan kanser merupakan satu gejala yang menyusahkan yang berkemungkinan bertambah teruk apabila penyakit ini berkembang. Hydromorphone mungkin dapat membantu melegakan gejala ini. Kesakitan yang berkaitan dengan kanser biasanya dirawat dengan ubat-ubatan seperti morfin, oksikodon, fentanil atau hydromorphone. Ulasan ini melihat faedah dan mudarat hydromorphone dibandingkan dengan ubat lain.

Ciri-ciri kajian

Pada bulan November 2020, kami mengemaskini carian kami untuk kajian rawak terkawal dengan hydromorphone berbanding dengan plasebo, opioid alternatif atau kawalan aktif lain. Kajian rawak terkawal adalah kajian di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Kami menjumpai empat kajian yang membandingkan hydromorphone dengan oksikodon, tiga kajian yang membandingkan hydromorphone dengan morfin dan satu kajian yang membandingkan hydromorphone dengan fentanil.

Keputusan

Ulasan ini merangkumi lapan kajian (empat kajian baru yang dimasukkan dalam versi terkini ini) dengan 1283 peserta yang membandingkan hydromorphone dengan oksikodon, morfin atau fentanil dalam orang dewasa (berumur 18 tahun dan ke atas) dengan kesakitan kanser sederhana hingga teruk. Tiada kajian yang membandingkan hydromorphone dan plasebo. Tiada kajian yang melibatkan kanak-kanak.

Kami tidak menemui perbezaan dalam skor intensiti kesakitan antara kumpulan rawatan yang berbeza dan purata pesakit melaporkan tahap kesakitan yang rendah selepas diberikan opioid. Hydromorphone nampaknya berfungsi seperti morfin, oksikodon dan fentanil. Terdapat beberapa kesan sampingan, seperti loya, muntah, pening dan sembelit, tetapi secara amnya tiada perbezaan yang jelas antara orang yang mengambil hydromorphone dan orang yang mengambil morfin, oksikodon atau fentanil.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti daripada kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kepastian bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti dengan keputusan tersebut. Bukti berkepastian tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan tersebut. Tiada keputusan yang dinilai sebagai berkepastian tinggi; kami hanya mengenalpasti kepastian bukti yang sangat rendah untuk intensiti kesakitan, kelegaan kesakitan dan kesan sampingan. Hasil-hasil ini dinilai sebagai mempunyai kepastian yang sangat rendah kerana hanya sedikit kajian disertakan dengan sedikit peserta, atau disebabkan oleh sumber bias yang lain, seperti potensi berlakunya persaingan untuk kepentingan dengan industri farmaseutikal.

Kesimpulan

Kajian-kajian tersebut tidak memberikan bukti berkepastian tinggi yang mencukupi untuk membuat kesimpulan yang kukuh; bukti faedah dan mudarat hydromorphone berbanding ubat lain adalah sangat tidak pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information