Latar belakang
Penyakit-penyakit kardiovaskular (PKV) merupakan sekumpulan keadaan yang menjejaskan jantung dan saluran darah. PKV adalah suatu beban sedunia dan berbeza kejadiannya antara kawasan. Perbezaan tersebut berkait sebahagian dengan faktor pemakanan. Faktor-faktor sebegini penting kerana mereka boleh diubahsuai untuk membantu dalam pencegahan dan pengurusan PKV. Sorotan ini menilai keberkesanan penambahan vitamin C sebagai penambahan tunggal untuk mengurangkan kematian kardiovaskular, kematian oleh sebarang sebab, titik akhir yang tidak mengancam nyawa (seperti serangan jantung, strok dan angina) dan faktor risiko PKV dalam kalangan orang dewasa yang sihat dan yang berisiko tinggi untuk menghidap PKV.
Ciri-ciri kajian
Kami telah menjalankan carian dalam pangkalan-pangkalan data saintifik untuk mendapatkan ujikaji rambang berkawal (ujikaji klinikal di mana peserta-peserta akan diagihkan secara rambang untuk menerima satu daripada dua atau lebih rawatan) yang menyiasat kesan-kesan penambahan vitamin C dalam orang dewasa yang sihat atau yang berisiko tinggi untuk menghidap PKV. Kami tidak menyertakan individu-individu yang telah menghidap PKV (seperti serangan jantung dan strok). Bukti-bukti adalah terkini setakat Mei 2016.
Dapatan utama
Lapan ujikaji memenuhi kriteria penyertaan kami. Satu ujikaji besar menyiasat kesan-kesan penambahan vitamin C terhadap risiko untuk menghidap kejadian PKV major (yang menyebabkan kematian atau sebaliknya), dan tidak mendapati sebarang manfaat. Namun begitu, ujikaji tersebut telah melibatkan peserta pertengahan umur dan doktor lelaki yang lebih tua di Amerika Syarikat. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada kesan-kesan tersebut boleh diaplikasikan kepada kumpulan manusia yang lain. Kami tidak dapat menggabungkan ujikaji-ujikaji tersebut oleh sebab terdapatnya kehilangan banyak maklumat dan perbezaan-perbezaan antara kajian dari segi jenis peserta, dos vitamin C dan tempoh kajian. Secara keseluruhannya, terdapat ketidakseragaman dari segi kesan-kesan penambahan vitamin C terhadap tahap lemak dan tekanan darah, dan lebih banyak kajian diperlukan. Empat daripada kajian yang disertakan tidak menyatakan sumber kewangan, dua kajian memperoleh tajaan bukan komersial (geran), dan dua lagi kajian menerima kedua-dua tajaan komersial (industri-industri) dan bukan komersial (geran).
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah bagi kejadian PKV major (infarksi miokardial, strok, angina dan penggrafan pintasan arteri koronari), kematian oleh sebarang sebab dan kematian oleh sebab PKV. Kualiti bukti tersebut adalah rendah kerana tidak boleh diaplikasikan kepada populasi umum (hanya melibatkan ahli perubatan lelaki di Amerika Syarikat), dan terdapat kekurangan bilangan kajian mengenai penambahan vitamin C untuk mencegah PKV.
Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Faculty of Health and Medical Sciences, Taylor's University, Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.