Ubat pengawalan opioid untuk rawatan kebergantungan pada ubat sakit opioid

Mesej utama

1. Methadone mungkin boleh mengekalkan lebih ramai orang dalam rawatan daripada buprenorphine.

2. Orang melaporkan pengurangan penggunaan opioid dengan methadone daripada buprenorphine, walaupun tiada perbezaan antara kumpulan semasa pengujian air kencing untuk penggunaan opioid.

3. Pengawalan dengan buprenorphine, berbanding dengan rawatan bukan opioid, mungkin mengekalkan lebih ramai orang dalam rawatan dan mungkin lebih baik dalam membantu orang mengurangkan penggunaan opioid.

Apa itu kebergantungan pada ubat sakit opioid?

Penggunaan opioid farmaseutikal (ubat yang digunakan untuk merawat kesakitan) telah meningkat secara mendadak di beberapa bahagian dunia sejak pertengahan 1990-an. Dengan peningkatan penggunaan, terdapat peningkatan bilangan orang yang mendapatkan rawatan untuk kebergantungan (ketagihan) pada opioid farmaseutikal. Pada masa kini, kebanyakan garis panduan rawatan adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan pada orang yang bergantung kepada heroin (opioid yang menyebabkan ketagihan yang tinggi). Orang yang menggunakan opioid farmaseutikal mungkin berbeza daripada orang yang menggunakan heroin dalam cara yang penting, seperti mempunyai prevalens kesakitan kronik dan gejala kesihatan mental yang lebih tinggi.

Apa yang kami ingin ketahui?

Ulasan ini ingin membandingkan rawatan pengawalan agonis opioid yang berbeza (iaitu rawatan seperti methadone atau buprenorphine yang diberikan selama sekurang-kurangnya 30 hari untuk membantu orang tersebut mengurangkan penggunaan ubat yang tidak dibenarkan) untuk rawatan kebergantungan pada opioid farmaseutikal. Kami juga membandingkan keputusan daripada rawatan pengawalan dan rawatan jangka pendek seperti detoksifikasi (penyingkiran ubat daripada badan) atau rawatan psikologi (contoh: terapi percakapan, kaunseling).

Apa yang telah kami lakukan?

Kami meneliti sastera saintifik sehingga Januari 2022. Kami mengenal pasti lapan kajian terkawal rawak (kajian di mana orang diagih secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih keadaan rawatan atau kawalan) yang melibatkan 709 orang dewasa dan remaja yang bergantung kepada opioid farmaseutikal. Tujuh puluh peratus daripada orang dalam kajian adalah lelaki, dan mempunyai purata umur 32.0 tahun. Tempoh purata kajian yang membandingkan rawatan pengawalan opioid yang berbeza (empat kajian yang membandingkan methadone dengan buprenorphine) adalah 21 minggu, dan tempoh purata kajian yang membandingkan rawatan pengawalan (empat kajian dengan pengawalan buprenorphine) dengan detoksifikasi, antagonis opioid, atau rawatan psikologi adalah 14 minggu. Tujuh daripada lapan kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, dengan satu kajian dari Iran.

Hasil utama adalah penggunaan opioid dan peninggalan rawatan secara lebih awal.

The National Institutes of Health (Amerika Syarikat) membiayai tujuh kajian, dengan satu kajian yang tidak melaporkan sumber pembiayaan. Lima kajian melaporkan bahawa syarikat farmaseutikal menyediakan ubat.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati bahawa apabila membandingkan methadone dengan rawatan pengawalan buprenorphine, methadone mungkin boleh mengekalkan lebih ramai orang dalam rawatan daripada buprenorphine. Orang yang menggunakan methadone mungkin melaporkan pengurangan penggunaan opioid berbanding dengan orang yang menggunakan buprenorphine. Walau bagaimanapun tiada perbezaan antara kumpulan semasa pengujian air kencing untuk penggunaan opioid. Apabila membandingkan pengawalan buprenorphine dengan rawatan bukan opioid lain seperti detoksifikasi, antagonis opioid seperti naltrexone, atau rawatan psikologi, buprenorphine mungkin mengekalkan lebih ramai orang dalam rawatan dan mungkin lebih baik dalam membantu orang mengurangkan penggunaan opioid.

Apakah batasan bukti ini?

Secara keseluruhan, bukti berkualiti rendah hingga sederhana. Semua kajian mengagihkan peserta ke dalam kumpulan rawatan secara rawak, tetapi peserta dan penyelidik mengetahui ubat yang diambil oleh peserta, yang boleh menyebabkan bias dalam hasil kajian dan menurunkan kualiti bukti. Dalam sesetengah kajian, ramai orang tidak menyelesaikan kajian, membawa kepada jumlah data yang hilang yang berpengaruh dan mungkin menyebabkan bias dalam hasil kajian. Dalam sesetengah kajian, terdapat lebih banyak keputusan kajian yang hilang dalam satu cabang kajian berbanding dengan cabang lain. Kebanyakan kajian adalah serupa dalam reka bentuk dan hasil kajian dikumpulkan dengan cara yang membolehkan penyelidik membandingkan hasil utama penggunaan opioid dan bilangan orang yang melengkapkan kajian.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information