Mengapakah mengenal demensia penting?
Banyak orang hidup dengan demensia tetapi tidak pernah diberikan diagnosis. Tidak mengenal demensia apabila ia wujud (keputusan negatif palsu) mungkin menafikan orang akses untuk sokongan sosial, ubatan, dan bantuan kewangan. Ia juga menghalang individu dan keluarga mereka daripada merancang untuk masa hadapan. Walau bagaimanapun, kesilapan mendiagnos demensia apabila ia tidak wujud (keputusan positif palsu) boleh menyebabkan keresahan atau takut dan mengakibatkan siasatan tambahan yang membasirkan sumber.
Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui berapa tepat soal selidik informan AD-8 untuk mengesan demensia dalam semua persekitaran penjagaan kesihatan. Para penyelidik menyertakan 10 kajian untuk menjawab soalan ini, sembilan melaporkan maklumat berangka yang boleh digunakan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Soal selidik AD-8 melibatkan lapan soalan ‘ya atau tidak’, untuk dijawab oleh seseorang yang mengenali orang yang disiasat; contohnya, saudara mara, penjaga atau kawan rapat (kadang-kadang dikenali sebagai informan). Soalan-soalan tersebut menanyakan sama ada informan menyedari perubahan daya ingatan dan keupayaan berfikir individu tersebut sejak beberapa tahun lepas. Satu markah diberi untuk setiap item yang mereka rasa keupayaan orang tersebut telah berubah. Skor lebih tinggi wujud apabila lebih banyak perubahan disedari oleh informan. AD-8 biasanya tidak digunakan untuk membuat diagnosis akhir demensia, tetapi ia mungkin membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan penilaian lanjutan.
Apakah keputusan utama ulasan?
Ulasan ini memasukkan data daripada sembilan kajian yang relevan dengan sejumlah 4045 peserta.
Tujuh daripada kajian tersebut menggunakan skor dua atau lebih untuk menunjukkan demensia. Skor 2 atau lebih merupakan titik potong yang dicadangkan untuk AD-8. Keputusan kajian-kajian tersebut menunjukkan secara teori, sekiranya AD-8 digunakan untuk mendiagnos demensia dalam sekumpulan 1000 orang merentasi semua persekitaran penjagaan kesihatan, yang mana 280 (28%) mempunyai demensia, anggaran sebanyak 517 akan mempunyai keputusan AD-8 menunjukkan demensia wujud dan daripada bilangan ini, 259 (50%) tidak mempunyai demensia. Daripada 483 orang dengan keputusan demensia tidak wujud, 22 (5%) akan silap diklasifikasikan sebagai tidak mempunyai demensia.
Ada kemungkinan AD-8 boleh berkesan dengan lain cara di dalam persekitaran berlainan, sebagai contoh di hospital atau praktis umum. Di persekitaran penjagaan sekunder, AD-8 menghasilkan lebih keputusan positif palsu, tetapi kurang keputusan negatif palsu, berbanding apabila ia digunakan di persekitaran komuniti. Kami tidak dapat membuat perbandingan terus prestasi AD-8 dalam penjagaan primer kerana hanya ada satu kajian di persekitaran tersebut.
Berapa tepatkah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini?
Dalam kajian yang dimasukkan, diagnosis demensia dibuat dengan menilai semua pesakit dengan penilaian klinikal terperinci. (Dalam kajian-kajian tersebut, penilaian klinikal terperinci adalah standard emas AD-8 yang kami bandingkan.) Ini mungkin kaedah boleh percaya untuk memutuskan sama ada pesakit memang mempunyai demensia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan cara kajian-kajian dijalankan. Ini mungkin menyebabkan AD-8 kelihatan lebih tepat daripada sebenarnya. Bilangan yang ditunjukkan adalah purata merentasi kajian-kajian dalam ulasan. Walau bagaimanapun, oleh kerana anggaran kajian-kajian individu adalah pelbagai, kami tidak pasti sama ada AD-8 akan selalu menghasilkan keputusan tersebut.
Siapa yang menggunakan keputusan ulasan ini?
Kajian yang dimasukkan dalam ulasan dijalankan di Brazil, China, Jepun, Singapura, Taiwan, UK dan AS. Kajian menyertakan mereka yang menghadiri perkhidmatan penjagaan primer dan sekunder, dan populasi dewasa yang lebih tua yang tinggal dalam komuniti. Lima kajian menggunakan AD-8 versi Bahasa Inggeris. Peratusan orang dengan diagnosis akhir demensia adalah di antara 12% dan 90% (purata 38%).
Apakah implikasi ulasan ini?
Kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini mencadangkan AD-8 boleh mengenal pasti orang dewasa yang mungkin mempunyai diagnosis demensia, yang mungkin mendapat manfaat daripada penilaian dan diagnosis pakar. Jika AD-8 sahaja digunakan untuk mendiagnos demensia, peluang untuk silap mendiagnos seseorang dengan demensia apabila mereka sebenarnya tiada demensia adalah tinggi (50% daripada mereka dengan skor AD-8 mencadangkan mereka mempunyai demensia). Ini membuat AD-8 ujian diagnostik tunggal yang tidak sesuai kerana ia berpotensi untuk mewujudkan keresahan dan distres. Peluang untuk terlepas diagnosis demensia adalah lebih rendah (5% daripada mereka dengan skor AD-8 yang mencadangkan mereka tidak mempunyai demensia apabila mereka sebenarnya ada). Kumpulan ini akan terlepas peluang untuk merancang penjagaan masa hadapan dan tidak layak dinilai untuk rawatan ubatan. Penemuan-penemuan ini perlu dipertimbangkan apabila membuat keputusan sama ada untuk menggunakan AD-8 atau tidak untuk menguji demensia.
Adakah in ulasan terkini?
Penulis ulasan mencari yelidik dan menggunakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2018.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.