Adakah pemberian wang kepada orang, di negara berpendapatan rendah dan sederhana, tanpa dikenakan syarat memperbaik kesihatan dan aspek kehidupan lain?

Soalan ulasan

Di sesetengah negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC), kerajaan dan organisasi lain kadangkala memberi wang kepada orang miskin atau lemah (contohnya orang tua atau anak yatim), tanpa mereka perlu melakukan apa-apa khususnya untuk menerima wang tersebut ('pemindahan tunai tanpa syarat '). Dalam program-program lain, orang hanya boleh menerima wang ini jika mereka terlibat dalam tingkah laku yang diperlukan, seperti menggunakan perkhidmatan kesihatan atau menghantar anak mereka ke sekolah ('pemindahan tunai bersyarat'). Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada menerima pemindahan tunai tanpa syarat akan memperbaik penggunaan perkhidmatan kesihatan dan kesihatan sebenar mereka berbanding tidak menerima pemindahan tunai tanpa syarat, menerima jumlah tanpa syarat yang lebih kecil atau menerima pemindahan tunai bersyarat. Ia juga bertujuan untuk menilai kesan pemindahan tunai tanpa syarat ke atas keadaan kehidupan harian yang menentukan perbelanjaan kesihatan dan penjagaan kesihatan seperti bersekolah, memiliki ternakan, mempunyai pekerjaan atau menjadi sangat miskin.

Latar belakang

Pemindahan tunai tanpa syarat ialah sejenis intervensi perlindungan sosial yang menangani pendapatan. Tidak diketahui sama ada pemindahan tunai tanpa syarat lebih, kurang atau sama berkesan seperti pemindahan bersyarat. Kami mengulas bukti tentang kesan pemindahan tunai tanpa syarat terhadap penggunaan perkhidmatan kesihatan dan hasil kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di LMICs.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan kajian-kajian pemindahan tunai tanpa syarat eksperimen dan bukan eksperimen dalam kalangan orang dari semua peringkat umur di LMICs. Kami sertakan kajian-kajian yang membandingkan orang yang menerima pemindahan tunai tanpa syarat dengan mereka yang tidak menerima pemindahan. Kami mencari kajian-kajian yang meneliti penggunaan perkhidmatan kesihatan dan hasil kesihatan.

Kami mendapati 34 kajian (25 eksperimen dan 9 bukan eksperimen) dengan 1,140,385 peserta (45,538 kanak-kanak dan 1,094,847 dewasa) dan 50,095 isi rumah di Afrika, Amerika dan Asia Tenggara. Kerajaan atau penyelidik eksperimen menganjurkan program pemindahan tunai tanpa syarat. Kebanyakan kajian dibiaya oleh kerajaan kebangsaan atau organisasi antarabangsa.

Keputusan utama

Kami menggunakan istilah berikut untuk menunjukkan tahap keyakinan kami terhadap bukti yang kami temui:

- 'mungkin' untuk bukti yang kami sederhana yakin;
- 'boleh' untuk bukti yang kami kurang yakin; dan
- 'tidak pasti' untuk bukti yang kami tidak yakin.

Pemindahan tunai tanpa syarat:

- mungkin tidak mengubah kemungkinan orang menggunakan sebarang perkhidmatan kesihatan dalam tempoh 1 hingga 12 bulan yang lalu;
- mungkin menunjukkan pengurangan yang bermakna secara klinikal, pengurangan yang sangat besar dalam risiko orang mengalami sebarang penyakit dalam tempoh 2 minggu hingga 3 bulan yang lalu;
- mungkin meningkatkan kemungkinan orang mendapat akses kukuh kepada makanan sepanjang bulan yang lalu;
- mungkin meningkatkan bilangan purata pelbagai kumpulan makanan yang diambil oleh orang dalam isi rumah sepanjang minggu yang lalu;
- mungkin membawa kepada peningkatan yang penting dan sederhana dalam kemungkinan kanak-kanak menghadiri sekolah;
- mungkin mengurangkan risiko orang hidup dalam kemiskinan tegar;
- mungkin meningkatkan jumlah wang yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan.

Walaupun beberapa kajian menyediakan bukti yang relevan, kesan pemindahan tunai tanpa syarat terhadap kemungkinan kanak-kanak terbantut (kurang tumbesaran dan perkembangan) dan tahap kemurungan orang masih tidak pasti. Tiada kajian yang menganggar kesan pemindahan tunai tanpa syarat terhadap kematian.

Kami tidak pasti sama ada pemindahan tunai tanpa syarat mengimpak pemilikan ternakan, penyertaan dalam buruh kanak-kanak, pekerjaan dewasa dan kualiti keibubapaan. Kesan pemindahan tunai tanpa syarat terhadap perbezaan dalam kesihatan adalah sangat tidak pasti. Kami tidak mengenal pasti sebarang mudarat yang timbul daripada pemindahan tunai tanpa syarat.

Tiga kajian eksperimen melaporkan bukti tentang impak pemindahan tanpa syarat berbanding pemindahan bersyarat terhadap kemungkinan menggunakan sebarang perkhidmatan kesihatan, kemungkinan mendapat penyakit atau purata bilangan kumpulan makanan untuk isi rumah. Walau bagaimanapun, hanya satu kajian memberi bukti untuk setiap hasil ini, dan ia adalah sangat tidak pasti untuk ketiga-tiganya.

Secara am, di mana kami ada sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti, ini adalah kerana orang dalam kajian mungkin mengetahui 'rawatan' yang mereka peroleh (iaitu, pemindahan tunai atau tanpa pemindahan tunai), dan kemungkinan besar penyelidik yang mengumpul maklumat juga tahu kumpulan orang mana yang menjadi penerima dan yang mana tidak. Selain itu, keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana dalam separuh daripada kajian-kajian, penyelidik tidak dapat mengumpul maklumat susulan daripada peratusan besar peserta.

Kesimpulan

Bukti ini menunjukkan pemindahan tunai tanpa syarat tidak boleh mengimpak penggunaan perkhidmatan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Pemindahan tunai tanpa syarat mungkin atau mungkin memperbaik:

- beberapa hasil kesihatan (seperti kemungkinan mendapat sebarang penyakit, kemungkinan mendapat akses kukuh kepada makanan, dan kepelbagaian dalam diet seseorang);

- dua penentu sosial kesihatan (iaitu, kemungkinan menghadiri sekolah dan hidup dalam kemiskinan tegar);

- perbelanjaan penjagaan kesihatan.

Bukti tentang kesan kesihatan pemindahan tunai tanpa syarat berbanding pemindahan bersyarat adalah tidak pasti.

Sejauh manakah bukti ini terkini?
Terkini sehingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah ). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information