Adakah instrumen bantuan video untuk memasukkan tiub pernafasan dalam kalangan dewasa berfungsi lebih baik daripada instrumen pandangan langsung dan adakah ia menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

Peranti yang dinamakan laringoskop diguna untuk membantu staf perubatan memasukkan tiub pernafasan plastik ke dalam salur udara seseorang kerana mereka memerlukan bantuan dengan pernafasan mereka. Kamera video boleh dipasang pada peranti. Kami mendapati ‘Videolaryngoscopy’ secara amnya memperbaik kejayaan memasukkan tiub pernafasan berbanding laringoskop konvensional.

Apakah itu intubasi?

Orang yang sangat sakit atau menjalani pembedahan di bawah anestesia umum mungkin perlukan bantuan untuk bernafas. Staf perubatan terlatih mungkin perlu meletakkan tiub plastik fleksibel ke dalam saluran pernafasan seseorang. Ini dipanggil intubasi. Ia akan memastikan salur udara terbuka supaya orang tersebut boleh diberi bantuan untuk bernafas.

Apakah itu laringoskop?

Semasa intubasi, staf perubatan perlu menggerakkan lidah dan tisu lembut mulut supaya mereka dapat melihat pita suara sebelum memasukkan tiub. Untuk mencapainya mereka menggunakan laringoskop. Walau bagaimanapun, untuk melihat pita suara mungkin sukar, contohnya apabila seseorang mempunyai pergerakan leher terhad. Kesukaran intubasi boleh membawa komplikasi, termasuk paras oksigen yang rendah dan dalam kes ekstrim menyebabkan kematian.

Dalam ulasan ini, kami melihat dua jenis laringoskop: Laringoskop langsung Macintosh dan ‘videolaryngoscope’ Laringoskop langsung Macintosh ialah sekeping logam atau plastik melengkung dengan pemegang yang direka untuk menahan lidah dan tisu lembut. ‘Videolaringoscope’ menggunakan teknologi video dan membolehkan staf perubatan melihat posisi tiub pada skrin video semasa ia dimasukkan. Terdapat tiga reka bentuk utama ‘Videolaringoscope’: Macintosh-style (dengan bentuk yang serupa dengan laringoskop tradisional), ‘hyperangulated’ (lebih melengkung daripada laringoskop yang lain), dan beralur (dengan alur untuk menyalurkan tiub pernafasan).

Apakah itu laringoskopi?

Laringoskopi ialah prosedur perubatan di mana peranti yang dipanggil laringoskop diguna untuk memeriksa peti suara dan membantu memasukkan tiub pernafasan ke dalam salur udara untuk melindungi saluran udara semasa anestesia atau apabila pesakit sukar bernafas. 'Laringoskop terus' bergantung pada garis penglihatan terus ke peti suara untuk mencapainya. 'Videolaryngoscope’ menggabung teknologi video yang membolehkan peti suara dilihat pada skrin semasa prosedur.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jenis laringoskop yang paling sesuai untuk intubasi bagi staf perubatan dan pesakit. Jenis laringoskop yang mana paling sesuai untuk kumpulan pesakit tertentu: contohnya, mereka dengan pergerakan leher terhad atau obesiti, staf perubatan yang berbeza (berpengalaman atau kurang berpengalaman) dan dalam persekitaran berbeza (di dalam atau di luar hospital). Kami juga ingin tahu jika ada sebarang laringoskop menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan laringoskop Macintosh terhadap tiga jenis videolaringoskop yang berbeza. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusannya, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan jumlah peserta.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 222 kajian dengan 26,149 orang dewasa yang diintubasi menggunakan laringoskop. Kebanyakan orang sedang menjalani pembedahan dan intubasi telah dirancang atau dijangka, tetapi beberapa intubasi berlaku dalam situasi kecemasan. Kebanyakan kajian melibatkan pelbagai jenis orang. Beberapa kajian adalah dalam kumpulan terpilih, seperti orang yang obes atau apabila staf perubatan menjangka intubasi yang mungkin sukar. Kajian-kajian tersebut dijalankan di pelbagai negara di seluruh dunia. 14 kajian melibatkan pengeluar laringoskop.

Keputusan utama

Berbanding laringoskop Macintosh tradisional, ketiga-tiga jenis 'videolaryngoscope’ mungkin mengurangkan bilangan intubasi yang gagal. 'videolaryngoscope’ ‘hiperangulated’ mungkin mengurangkan intubasi gagal terutamanya dalam kalangan orang dengan saluran udara yang sukar untuk diintubasi (atau saluran pernafasan yang dijangka sukar). Semua 'videolaryngoscope’ juga boleh meningkatkan peluang untuk kejayaan diintubasi pada percubaan pertama dan memperbaik pandangan pita suara.

'Videolaryngoscope’ Macintosh-style dan ‘channelled’ mungkin mengurangkan risiko orang mengalami paras oksigen yang rendah, tetapi mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan apabila 'videolaryngoscope’ ‘hyperangulated’ digunakan. Menggunakan 'videolaryngoscope’ ‘hiperangulated’ mungkin mengurangkan risiko tiub pernafasan tersilap dimasukkan ke dalam saluran dan bukannya salur udara. 'Videolaryngoscope’ yang lain mungkin atau mungkin tidak mengurangkan risiko ini.

Tiada jenis laringoskop meningkatkan atau mengurangkan kerosakan tanpa sengaja kepada gigi, tetapi kami sangat tidak pasti tentang penemuan ini. Kami tidak dapat nyatakan sama ada sebarang laringoskop mengurangkan masa yang diambil untuk intubasi.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami sederhana yakin ‘videolaringoscope’ mengurangkan intubasi yang gagal. Kami sederhana yakin hingga sangat rendah yakin terhadap penemuan kami yang lain. Penyelidik tidak dapat menyembunyikan jenis laringoskop yang diguna oleh staf perubatan dan ini mungkin mempengaruhi cara mereka menjalankan intubasi. Kajian-kajian tersebut melibatkan jenis orang yang berbeza, dan beberapa penemuan menunjukkan kemungkinan manfaat atau mudarat untuk kedua-dua jenis laringoskop.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information