Latar belakang
Penyakit kardiovaskular (CVD) merujuk kepada sekumpulan keadaan yang menjejaskan jantung dan saluran darah. CVD ialah beban global dan berbeza antara wilayah, variasi ini telah dikaitkan sebahagiannya kepada faktor pemakanan. Faktor sedemikian adalah penting kerana ia boleh diubah suai untuk membantu dalam pencegahan dan pengurusan CVD. Ulasan ini menilai keberkesanan suplemen vitamin K sebagai suplemen tunggal dalam mengurangkan kematian kardiovaskular, kematian oleh semua sebab, hasil akhir tidak membawa maut (seperti serangan jantung, strok dan sakit dada) serta faktor risiko CVD pada orang dewasa yang sihat dan orang dewasa yang berisiko tinggi untuk mendapat CVD.
Ciri-ciri kajian
Pengulas mencari pangkalan data saintifik untuk kajian terkawal rawak (percubaan klinikal dengan orang diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih rawatan) yang melihat kepada kesan suplemen vitamin K pada orang dewasa yang sihat atau mereka yang berisiko tinggi untuk menghidap CVD. Pengulas tidak memasukkan orang yang sudah mempunyai CVD (seperti serangan jantung dan strok). Bukti adalah terkini sehingga September 2014.
Hasil utama
Hanya satu kajian kecil yang memenuhi kriteria kemasukan yang ditetapkan oleh pengulas. Ia melibatkan 60 peserta berumur 40 hingga 65 tahun. Kajian ini melihat kesan suplemen vitamin K2 pada faktor risiko CVD (tekanan darah dan tahap lipid) selama tiga bulan dalam kalangan peserta yang sihat. Tiada perbezaan dilihat dalam faktor risiko antara kumpulan perbandingan, tetapi ini merupakan kajian kecil dan penemuan adalah terhad. Kajian tidak melihat hasil akhir kardiovaskular yang membawa maut dan tidak membawa maut kerana ia kecil serta berjangka pendek.
Bukti pada masa ini amat terhad dan kajian lanjut yang berkualiti tinggi diperlukan supaya keberkesanan suplemen vitamin K untuk pencegahan CVD dapat ditentukan.
Kualiti bukti
Satu-satunya kaijan yang dikenal pasti untuk ulasan ini dinilai berisiko bias yang rendah (kurang peluang untuk membuat kesimpulan yang salah kerana pilih kasih oleh peserta atau penyelidik). Walau bagaimanapun, bukti adalah terhad kepada satu kajian kecil dan tiada kesimpulan kukuh boleh dicapai pada masa ini.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.