Segmen cincin kornea intrastromal untuk keratoconus

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai keberkesanan dan keselamatan segmen cincin kornea intrastromal sebagai rawatan untuk keratoconus. Segmen cincin kornea intrastromal adalah cincin kecil, plastik berbentuk sabit yang diletakkan di kornea (permukaan depan mata yang jernih) untuk merawat keratoconus. Keratoconus adalah penyakit mata yang memburuk di mana kornea bulat yang normal membonjol membentuk seperti kon dengan permukaan yang tidak teratur, menyebabkan penglihatan yang terherot. Kajian yang menilai penglihatan yang tidak dirawat dengan cincin kornea intrastromal telah dicari, dan tidak ada ujian terkawal secara rawak (RCT) yang sesuai dengan protokol kriteria kemasukan telah dikenal pasti.

Mesej utama
Ketiadaan RCTs yang bersesuaian dengan topik ini, menyebabkan keberkesanan dan keselamatan segmen cincin kornea intrasromal sebagai rawatan untuk keratoconus tidak dapat dipastikan.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Adalah penting untuk menilai keberkesanan dan keselamatan segmen cincin kornea intrastromal sebagai rawatan bagi keratoconus, penyakit kornea yang jarang dan progresif. Keratoconus sering menjejaskan kedua-dua mata, menyebabkan penonjolan mata dan mengakibatkan permukaan luar mata menjadi tidak teratur dan herot. Kadang-kadang ia boleh menyebabkan parut pada kornea, mengakibatkan penglihatan menjadi kabur, walaupun telah menjalani pembetulan visual. Apabila kanta lekap atau cermin mata tidak lagi cukup berkesan untuk membetulkan penglihatan, segmen cincin kornea intrastromal digunakan.

Apakah hasil utama tinjauan ini?
Kami mendapati tidak ada kajian yang memenuhi kriteria kemasukan kami, dan oleh itu tidak ada kesimpulan yang dapat dibuat mengenai keberkesanan dan keselamatan segmen cincin kornea intrastromal sebagai rawatan bagi orang yang menghidap keratoconus. Kajian adalah diperlukan untuk membandingkan orang yang menjalani segmen cincin kornea intrastromal sebagai rawatan keratoconus dengan individu yang tidak menerima rawatan segmen cincin kornea intrastromal.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?
Para penulis ulasan telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 25 Januari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zaleha Abd.Aziz, (Penterjemah Bebas, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information