Intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit untuk menyokong klien dalam penggunaan perancang keluarga/kontrasepsi

Soalan ulasan

Matlamat kajian ini adalah untuk menentukan sama ada intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit meningkatkan penggunaan kontrasepsi.

Mesej utama

Intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit menunjukkan kesan positif terhadap pengambilan dan penggunaan berterusan kontrasepsi.

Mesej interaktif adalah lebih baik daripada mesej teks sehala dalam memperbaik penggunaan kontrasepsi.

Bukti sedia ada adalah berkualiti sederhana.

Mengapa ulasan ini penting?

Pemesejan kesihatan, atau intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit, menunjukkan peningkatan kesihatan dan tingkah laku, tetapi tidak diketahui jika pemesejan yang dihantar melalui telefon bimbit memberi impak kepada isu yang berkait dengan kesihatan reproduktif, seperti penggunaan kontrasepsi.

Kesihatan wanita dan kanak-kanak mendapat manfaat ketara daripada pencegahan kehamilan. Walaupun bermanfaat, sebilangan besar wanita secara global tidak menggunakan kontrasepsi walaupun ingin mengelakkan kehamilan.

Perkembangan pesat penggunaan telefon bimbit dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan minat dalam penyampaian penjagaan kesihatan melalui telefon bimbit yang berpotensi menyampaikan sokongan terus ke mana-mana lokasi orang, bila-bila masa ia diperlukan dan untuk sampai kepada populasi dengan akses terhad kepada perkhidmatan.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang menilai penggunaan intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit dan impak terhadap penggunaan kontrasepsi. Kami mendapati 23 kajian dengan 12,793 wanita yang dijalankan di 11 negara dalam kedua-dua persekitaran berpendapatan tinggi (11 kajian) dan berpendapatan rendah (12 kajian). Kajian-kajian ini membandingkan penjagaan standard dengan intervensi telefon bimbit - seperti peringatan mesej teks sehala, mesej interaktif (yang perlukan respons klien), mesej suara atau aplikasi mudah alih.

Apakah yang kami dapati?

Keputusan seluruh kajian-kajian adalah bercampur-campur; walau bagaimanapun, apabila keputusan digabung, kami dapati kesan positif menggunakan intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit dan meningkatkan penggunaan kontrasepsi.

Tiada perbezaan dalam kehamilan yang tidak diingini antara kumpulan-kumpulan yang menggunakan telefon bimbit dan mereka yang tidak.

Menggunakan kaedah interaktif alat telefon bimbit dilihat lebih baik dalam memperbaik penggunaan kontrasepsi berbanding intervensi telefon bimbit sehala. Tiada cukup bukti tentang keselamatan atau akibat negatif alat telefon bimbit untuk memperbaik penggunaan kontrasepsi.

Penyelidikan lanjutan mungkin memberi impak penting terhadap keyakinan kami dalam keputusan ini.

Apakah maksudnya?

Intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit dilihat bermanfaat dalam memperbaik penggunaan kontrasepsi. Analisis kami terhad oleh kualiti bukti yang didapati, yang menyukarkan untuk membuat kesimpulan yang lebih mantap. Lebih banyak penyelidikan berkualiti perlu dalam bidang pemesejan kesihatan dan kontrasepsi.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disuntinig oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information