Intervensi pembedahan berbanding dengan konservatif bagi merawat kecederaan ligamen anterior cruciate

Latar belakang

Pecah ligamen anterior cruciate (ACL) pada lutut adalah kecederaan biasa pada individu muda yang aktif. Ini sering menyebabkan lutut yang tidak stabil yang meningkatkan risiko kerosakan lutut selanjutnya, seperti pada meniskus lutut. Ligamen anterior cruciate bagi individu atletik selalunya dirawat secara pembedahan. Pembedahan selalunya melibatkan pembinaan semula ACL, yang melibatkan pengeluaran ligamen koyak dan menggantikannya dengan graf tendon, selalunya diambil daripada bahagian lain lutut pesakit. Intervensi konservatif (bukan pembedahan) juga digunakan sebagai rawatan kecederaan ini. Ini selalunya berbentuk program pemulihan progresif yang melibatkan senaman yang bertujuan meningkatkan kekuatan dan keseimbangan. Matlamat kami adalah menilai kesan-kesan antara intervensi pembedahan dengan konservatif bagi merawat kecederaan ACL.

Keputusan carian

Kami mencari kesusasteraan sistematik (sehingga 18 Januari 2016) untuk kajian yang membandingkan intervensi pembedahan dengan konservatif bagi merawat kecederaan ACL. Ulasan ini mengenal pasti satu kajian dengan 121 dewasa muda dan aktif dengan kecederaan ACL dalam empat minggu sebelumnya. Kajian tersebut membandingkan pembedahan (pembinaan semula ACL diikuti rehabilitasi berstruktur) dengan rawatan konservatif (pemulihan berstruktur sahaja).

Hasil utama

Kajian tersebut mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan antara rawatan pembedahan dan konservatif dalam skor lutut yang dilaporkan pesakit pada dua atau lima tahun. Kajian itu gagal untuk melaporkan jumlah peserta dalam setiap kumpulan yang mendapat mana-mana jenis komplikasi serius atau tidak serius. Walau bagaimanapun, komplikasi berkaitan pembedahan melibatkan tiga kes putus graf dalam kumpulan pembedahan dan beberapa peserta kumpulan rawatan konservatif mempunyai lulut yang tidak stabil. Dua puluh tiga daripada 59 peserta dalam kumpulan rawatan konservatif (39%) telah melalui sama ada pembinaan semula ACL atau pembaikian meniskus koyak dalam masa dua tahun dan 30 (51%) melalui pembedahan dalam masa lima tahun. Terdapat beberapa bukti bahawa bilangan peserta yang sama dalam kedua-dua kumpulan melalui rawatan pembedahan kecederaan meniskus lutut selepas lima tahun. Terdapat bukti amat berkualiti rendah yang lebih banyak peserta dalam kumpulan pembedahan mempunyai kerosakan pada lutut yang bermaksud mereka lebih berisiko tinggi mendapat osteoartritis.

Kualiti bukti

Kualiti bukti terhad pada kesediaadaan data daripada hanya satu kajian. Kajian tersebut juga berisiko tinggi berat sebelah kerana doktor-doktor dan peserta-peserta mengetahui tentang rawatan mereka. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah, yang bermaksud kami tidak pasti tentang hasil kajian dan kajian lanjut mungkin boleh memberikan bukti yang boleh mengubah kesimpulan kami.

Kesimpulan

Bagi dewasa muda dan aktif yang dirawat untuk kecederaan ACL akut, kami tidak menjumpai perbezaan antara rawatan pembedahan dan konservatif dalam hasil uji kaji fungsi lutut yang dilaporkan pesakit pada dua dan lima tahun. Walau bagaimanapun, ramai peserta dengan pecah ACL mempunyai lutut kurang stabil selepas pemulihan berstruktur dan memilih untuk menjalani pembedahan kemudian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information