Intervensi untuk kehamilan ektopik bukan tiub

Soalan ulasan

Seberapa berkesan dan selamat pembedahan, rawatan perubatan, dan pengurusan jangkaan untuk kehamilan ektopik bukan tiub?

Latar belakang

Kehamilan ektopik bukan tiub adalah implantasi embrio di luar rahim (rahim) atau tiub falopio (yang menghubungkan rahim ke ovari). Tapak merangkumi parut caesarean yang terbentuk sebagai penyembuhan belahan di rahim setelah pembedahan caesarean, cornua uteri (di mana rahim dan tiub falopio bertemu), ovari, serviks, dan abdomen. Terdapat peningkatan dalam kejadian keadaan yang jarang berlaku ini, terutamanya kehamilan parut caesarean(CSP). Kehamilan ektopik merangkumi 80% kematian ibu yang berlaku pada trimester pertama, di mana kematian kehamilan ektopik bukan tiub menyumbang kadar yang lebih tinggi daripada kematian melibatkan kehamilan tiub. Diagnosis awal dan rawatan yang berkesan adalah sangat mustahak untuk mengurangkan kesan sampingan segera dan kemudian, dan untuk mengelakkan penyakit yang signifikan dan kematian ibu. Rawatan merangkumi pembedahan (contohnya embolisasi arteri rahim (UAE; tiub menyampaikan zarah-zarah kecil yang menyekat bekalan darah ke rahim), kemoembolisasi arteri rahim (UACE; tiub menyampaikan zarah-zarah kecil yang menyekat bekalan darah ke rahim dan kemoterapi), pelebaran dan sedutan curettage (untuk mengeluarkan produk kehamilan)); rawatan perubatan (seperti ubat yang dipanggil methotrexate); atau pengurusan jangkaan (tunggu untuk melihat sama ada keguguran berlaku secara semula jadi).

Ciri-ciri kajian

Penyelidik Cochrane menemui lima kajian klinikal yang melibatkan 303 wanita. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2019.

Keputusan utama

Kehamilan parut caesarean

Dua kajian membandingkan UAE / UACE dengan methotrexate (pembedahan) berbanding suntikan methotrexate sistematik (ke dalam urat atau otot) (rawatan perubatan) berikutan sedutan curettage. Bukti adalah tidak mencukupi untuk kejayaan rawatan, komplikasi, dan kesan sampingan. Bukti berkualiti sederhana menunjukkan bahawa kehilangan darah dari rawatan dalam kumpulan pembedahan adalah lebih rendah daripada kumpulan rawatan perubatan. Tidak ada data bagi masa untuk tahap β-hCG kembali normal.

Satu kajian membandingkan UAE dengan suntikan methotrexate (pembedahan) tempatan (ke arteri rahim) berbanding suntikan methotrexate tempatan (rawatan perubatan) yang dipandu oleh ultrasound. Bukti adalah tidak mencukupi untuk kejayaan rawatan dan masa untuk tahap β-hCG kembali normal. Kajian ini melaporkan jumlah rawatan gagal yang sama di setiap lengan. Tidak ada data untuk komplikasi atau kesan sampingan yang lain.

Dua kajian membandingkan penyedut curettage di bawah histeroskopi (penyisipan teleskop sempit dengan cahaya dan kamera di hujung ke dalam rahim) berbanding penyedut curettage di bawah ultrasound selepas UAE/UACE dengan methotrexate. Bukti adalah tidak mencukupi untuk kejayaan rawatan, komplikasi, kesan sampingan, dan masa untuk tahap β-hCG kembali normal.

Kehamilan ektopik bukan tiub selain kehamilan parut caesarean

Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai kehamilan ektopik bukan tiub di lokasi selain pada parut caesarean.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga sangat rendah. Had utama adalah bilangan kecil peserta dan kajian, hasil yang sangat luas untuk kebanyakan perbandingan, dan data yang tidak mencukupi untuk menilai perbezaan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information