Mesej utama
Kortikosteroid dilihat dapat mengurangkan risiko masalah jantung selepas penyakit Kawasaki tanpa menyebabkan sebarang kesan sampingan yang penting. Ia juga mengurangkan tempoh gejala (demam dan ruam), tempoh kemasukan di hospital, dan bacaan darah yang berkaitan dengan kesakitan.
Apakah penyakit Kawasaki dan bagaimana penyakit ini dirawat?
Penyakit Kawasaki ialah peradangan pada saluran darah. Ubat standard untuk merawat penyakit Kawasaki ialah immunoglobulin intravena (IVIG) dan aspirin. Rawatan ini biasanya berkesan tetapi tidak berkesan untuk semua kanak-kanak. Pada masa ini, kami mempunyai pemahaman terhad tentang penyakit Kawasaki dan cara terbaik untuk menguruskannya. Hal ini penting kerana salah satu akibat jangka panjang boleh melibatkan jantung, meletakkan kanak-kanak dengan penyakit itu pada risiko yang lebih tinggi untuk memendekkan hayat.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian terkawal rawak yang merawat kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki menggunakan ubat-ubatan yang dikenali sebagai kortikosteroid untuk melihat sama ada ia mengurangkan kemungkinan masalah jantung pada masa hadapan. Kami juga menyiasat kesan ke atas tempoh demam, tanda jangkitan dalam darah, dan bilangan hari yang dihabiskan di hospital. Dalam kajian terkawal secara rawak, rawatan atau ujian diterima seseorang ditentukan secara rawak, dan hal ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati lapan kajian melibatkan 1877 peserta, yang membandingkan penggunaan kortikosteroid dengan tanpa kortikosteroid terhadap kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki. Keputusan yang digabungkan daripada kajian ini menunjukkan bahawa masalah jantung berkurangan selepas rawatan kortikosteroid. Tiada kesan sampingan serius atau kematian dilaporkan dalam kumpulan rawatan kortikosteroid atau kumpulan rawatan tanpa kortikosteroid. Penanda darah yang menunjukkan penyakit telah berkurangan dan kanak-kanak mempunyai masa tinggal yang lebih singkat di hospital apabila dirawat dengan kortikosteroid. Gejala penyakit Kawasaki (demam dan ruam) berlarutan untuk masa yang lebih singkat selepas rawatan kortikosteroid. Tiada kajian yang melaporkan masalah jantung jangka panjang (lebih daripada satu tahun selepas serangan penyakit) (morbiditi koronari), yang boleh dikaitkan dengan penyakit Kawasaki.
Berapa yakinkah kami terhadap bukti ini?
Bukti adalah kepastian sederhana untuk kesan sampingan yang serius dan kematian, risiko masalah jantung di masa depan, penanda darah dan tempoh tinggal di hospital. Bukti ini bermakna kami sederhana yakin bahawa kesan sebenar hampir sama dengan yang dianggarkan dalam ulasan ini. Bukti dianggap kepastian rendah untuk tempoh gejala klinikal (demam dan ruam). Hal ini bermakna keyakinan kami terhadap anggaran kesan adalah terhad dan ini adalah kerana cara simptom ini diukur dan dilaporkan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan Cochrane ini mengemas kini ulasan kami terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my