Mesej utama
- Kami menemui beberapa bukti untuk mencadangkan intervensi berasaskan pendidikan (penilaian risiko tingkah laku dan kesihatan (HRA)) dan kejuruteraan dapat mempromosikan penggunaan tali pinggang keledar pada remaja dan orang dewasa; namun, kami tidak yakin dengan bukti semasa.
- Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk lebih memahami keberkesanan intervensi berasaskan pendidikan dan kejuruteraan tentang penggunaan tali pinggang keledar.
- Penyelidikan berkualiti tinggi juga diperlukan untuk menyiasat manfaat insentif (bersendirian atau digabungkan dengan intervensi lain) serta jenis intervensi lain, kombinasi intervensi yang berbeza, dan tetapan yang berbeza.
Mengapakah memakai tali pinggang keledar itu penting?
Ramai orang, kebanyakannya kanak-kanak dan orang dewasa yang muda, mati setiap tahun akibat kecederaan jalan raya menunjukkan ia menjadi penyebab utama kematian dengan sekitar 75% kematian yang berkaitan dengan lalu lintas berlaku di kalangan lelaki muda. Ramai yang lain mengalami kecederaan yang kekal dan parah. Tali pinggang keledar direka untuk melindungi pengguna daripada dilambung keluar dari kenderaan oleh kekuatan hentaman, dan menyebarkan hentaman ke bahagian badan yang kurang terdedah untuk mengurangkan kerosakan. Undang-undang yang diluluskan yang mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar tidak mencukupi untuk menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar dengan sendirinya.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami menyiasat keberkesanan pendidikan, insentif, atau intervensi berasaskan kejuruteraan, tetapi bukan penguatkuasaan undang-undang, untuk menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar dan menentukan jenis intervensi mana yang paling berkesan. Intervensi berasaskan pendidikan adalah program berstruktur yang mengajar pemandu dan penumpang akan kepentingan menggunakan tali pinggang keledar. Intervensi berasaskan kejuruteraan merupakan perubahan reka bentuk pada struktur kenderaan yang mempromosikan pemakaian tali pinggang keledar, seperti penggera tali pinggang keledar, sementara insentif termasuk skim ganjaran.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang secara rawak memperuntukkan orang yang melakukan perjalanan dengan kenderaan penumpang atau komersil dengan intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tali pinggang keledar. Kami mengecualikan orang yang melakukan perjalanan dengan kenderaan pertanian atau agrikultur kerana ini tidak dianggap sebagai kenderaan komersil. Dua penulis ulasan secara bebas mengkaji kajian untuk menilai kemasukan dalam ulasan. Kami mencatat maklumat mengenai reka bentuk kajian, tetapan, peserta, intervensi, dan hasil. Dari segi hasilnya, kami melihat kekerapan memakai tali pinggang keledar serta kecederaan dan kematian yang berkaitan dengan kemalangan. Disebabkan oleh perbezaan antara kajian yang disertakan, kami menyediakan akaun bertulis dan menilai berapa banyak setiap hasil boleh dipercayai menggunakan penilaian, berkualiti tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah, bergantung kepada keyakinan kami terhadap kebolehpercayaan keputusan. Kami ringkaskan penemuan dan membandingkan keputusan kajian.
Apakah yang telah kami dapati?
Kami mendapati 15 kajian mendaftarkan 12,081 peserta dan empat kajian yang sedang dijalankan. Tiga belas kajian dijalankan di Amerika Syarikat dan menyertakan peserta dari pelbagai tapak (tapak kerja, sekolah, jabatan kecemasan, komuniti kediaman persaraan, dan tempat penjagaan primer) dan kumpulan umur yang berbeza (orang dewasa, remaja lewat dan awal, dan pasangan anak/remaja dan ibu bapa/penjaga sah).
Dua belas kajian melihat kepada intervensi pendidikan sahaja, satu pada pendidikan dan insentif, dan dua pada intervensi berasaskan kejuruteraan. Semua kajian yang termasuk melaporkan mengenai kekerapan memakai tali pinggang keledar; namun, kebanyakan kajian (12) melaporkan hasil ini melalui pelaporan diri peserta. Kajian selebihnya melaporkan kekerapan memakai tali pinggang keledar melalui sistem pemantauan data dalam kenderaan (dua kajian) dan pemerhatian (satu kajian). Tiada kajian yang disertakan melaporkan kecederaan dan kematian yang berkaitan dengan kemalangan.
Beberapa bukti menunjukkan bahawa intervensi berasaskan pendidikan dan kejuruteraan dapat mempromosikan penggunaan tali pinggang keledar; namun, kami tidak begitu yakin dengan bukti yang ada. Untuk intervensi berasaskan pendidikan, bukti menunjukkan bahawa intervensi berasaskan tingkah laku (wawancara motivasi, kaunseling perubahan tingkah laku, dan mesej tingkah laku) dan HRA (bersendirian atau dengan maklumat pendidikan ditambah insentif) dapat meningkatkan penggunaan tali pinggang keledar pada remaja awal, remaja lewat, dan orang dewasa. Bukti menunjukkan bahawa intervensi berasaskan kejuruteraan dapat mempromosikan penggunaan tali pinggang keledar pada remaja awal dan orang dewasa.
Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk lebih memahami keberkesanan intervensi berasaskan pendidikan dan kejuruteraan terhadap penggunaan tali pinggang keledar. Di samping itu, penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk menyiasat manfaat insentif sahaja atau digabungkan dengan intervensi lain serta penyelidikan untuk menyiasat jenis intervensi lain, kombinasi intervensi yang berbeza, seting (seperti negara berpendapatan rendah dan sederhana), dan populasi.
Apakah batasan bukti?
Hanya dua kajian yang melihat kepada intervensi berasaskan kejuruteraan untuk meningkatkan penggunaan tali pinggang keledar dan kedua-dua kajian mendaftarkan sebilangan kecil peserta menjadikannya mencabar untuk menyimpulkan bahawa intervensi ini adalah bermanfaat. Kajian yang menyiasat intervensi pendidikan untuk meningkatkan penggunaan tali pinggang keledar berbeza dari segi jenis intervensi, kualiti, bilangan dan jenis orang dalam kajian, dll. Kajian memasukkan kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa; namun, intervensi yang paling berkesan untuk setiap kumpulan penduduk adalah masih tidak jelas. Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah atau sederhana, terutamanya disebabkan oleh hasilnya (memakai tali pinggang keledar) yang diukur melalui pelaporan diri peserta. Hasil yang dilaporkan sendiri adalah mudah dipengaruhi oleh peserta yang menjawab dengan cara yang mereka percaya diinginkan atau oleh ingatan terhad peserta mengenai peristiwa yang sedang dikaji. Tiada kajian yang disertakan dijalankan di negara-negara di mana kematian dan kecederaan yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya adalah yang tertinggi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Terkini hingga Ogos 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Ahmad Shauqi Mohammad Norizan. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).