Soalan ulasan
Kami ingin melihat jika antagonis reseptor leukotriena anti-radang (LTRA) mengurangkan gejala atau memperbaiki kualiti hidup orang dewasa dan kanak-kanak dengan ekzema; jika ia selamat; dan sama ada ia boleh disyorkan sebagai rawatan ekzema alternatif yang berkesan. Kami memasukkan kajian yang membandingkan LTRA dengan rawatan lain sahaja, seperti kortikosteroid topikal (ubat steroid anti-radang (hormon sintetik)), atau plasebo (rawatan yang sama tetapi tidak aktif).
Latar belakang
Ekzema, juga dikenali sebagai 'ekzema atopik' dan 'dermatitis', adalah keadaan kulit kering lazim. Ekzema boleh jadi ringan, sederhana, atau teruk bergantung kepada cara gatal atau merah kulit, berapa banyak kulit yang dipengaruhi, dan impaknya terhadap kehidupan seharian. Ekzema kadang-kadang dikaitkan dengan sekumpulan keadaan, termasuk asma. Kortikosteroid adalah rawatan yang lazim diguna, tetapi rawatan jangka panjang boleh menghasilkan kesan sampingan yang tidak diingini, seperti penipisan kulit. LTRA telah menunjukkan penambahbaikan gejala asma, dan penggunaannya untuk ekzema mengurangkan jumlah steroid yang diguna. LTRA tidak diberikan pada masa ini untuk ekzema, dan sama ada ia berkesan untuk keadaan ini adalah tidak pasti.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga September 2017. Kami mendapati 5 kajian yang relevan dengan 202 peserta (kedua-dua jantina). Semua peserta mempunyai ekzema sederhana hingga teruk yang didiagnosis oleh doktor pakar. Kajian berlangsung selama 4-8 minggu. Persekitaran kajian adalah tidak jelas di dalam dua kajian, berbilang pusat di dalam dua kajian, dan kajian pusat tunggal dalam satu kajian; kajian-kajian telah dijalankan di Eropah dan Bangladesh. Semua kajian menggunakan montelukast LTRA, pada dos 5 mg atau 10 mg. Hanya satu kajian memasukkan kanak-kanak (31 peserta, berumur 6 tahun dan lebih). Julat umur untuk empat kajian lain ialah 16 hingga 70 tahun. Rawatan LTRA dibandingkan dengan plasebo atau rawatan konvensional, termasuk rawatan ekzema terkini, seperti krim steroid. Sistem skor yang berbeza diguna untuk mengira kesan rawatan ekzema pada peserta. Dua kajian yang dimasukkan dibiaya oleh syarikat yang menghasilkan montelukast.
Keputusan utama
Data terhad yang ada bermakna kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh mengenai keberkesanan LTRA dalam ekzema. Seperti ulasan lain mengenai topik ini, ulasan ini tidak mungkin mengubah cara ekzema dirawat kerana tiada bukti yang meyakinkan montelukast, satu-satunya LTRA yang boleh dinilai, membantu ekzema.
Kami mendapati tiada bukti perbezaan di antara montelukast dan plasebo dari segi memperbaiki keterukan penyakit ekzema (bukti berkualiti rendah). Apabila montelukast dibandingkan dengan rawatan konvensional, peserta yang menggunakan montelukast dalam satu kajian menunjukkan penambahbaikan keterukan penyakit, tetapi tiada perbezaan diperhatikan dalam kajian yang lain. Kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.
Tiada kajian yang melihat kawalan ekzema jangka panjang, penggunaan pelembap (emolien), atau kualiti hidup.
Kami mendapati tiada bukti bahawa montelukast mengurangkan gatal-gatal atau mengurangkan keperluan untuk krim steroid semasa rawatan berbanding plasebo (bukti berkualiti rendah). Kajian yang membandingkan montelukast dengan rawatan konvensional tidak menilai hasil ini.
Peserta dalam empat kajian tidak mengalami kesan sampingan. Dalam satu kajian membandingkan montelukast dengan plasebo, terdapat dua kejadian yang dilaporkan dalam kumpulan montelukast yang mengakibatkan penarikan diri peserta: satu episod septisemia (keracunan darah) dan satu episod pening. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada ia ada kaitan dengan rawatan montelukast. Kesan sampingan ringan lain dilaporkan (contohnya sakit kepala, gangguan perut), tetapi kesan ini terjadi kepada peserta dalam kedua-dua kumpulan. Oleh itu, kami mendapati tiada bukti perbezaan di antara montelukast dan plasebo atau rawatan konvensional, tetapi penilaian ini adalah berdasarkan bukti yang berkualiti rendah.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah rendah untuk semua kecuali satu keputusan utama, iaitu kesan montelukast terhadap 'perubahan (penambahbaikan) dalam tahap penyakit' apabila dibandingkan dengan rawatan konvensional, bukti yang dianggap sangat rendah. Secara keseluruhan, sangat sedikit kajian yang membahas soalan ulasan kami.
Kebanyakan hasil tidak dinilai, termasuk kawalan jangka panjang, dan hasil yang dinilai mempunyai kurang peserta, yang kebanyakannya adalah dewasa. Kajian-kajian tersebut hanya tertumpu kepada ekzema sederhana hingga teruk, dan terdapat kebimbangan dengan peserta atau penyiasat mengetahui rawatan yang telah diterima.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.