Mengapakah ulasan ini penting?
Ramai orang di latitud utara mengalami kesedihan musim sejuk, yang berlaku akibat tindakbalas kepada kekurangan cahaya matahari. Tiga perempat daripada mereka yang terlibat adalah wanita. Kelesuan, makan berlebihan, sangat inginkan karbohidrat dan perasaan murung adalah simptom lazim. Bagi sesetengah orang, kesedihan musim sejuk menjadi kemurungan, yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka dengan serius. Sehingga dua pertiga orang mengalami simptom kemurungan setiap musim sejuk.
Siapakah yang berminat dengan ulasan ini?
• Sesiapa yang telah mengalami kemurungan musim sejuk.
• Ahli keluarga dan rakan orang yang telah mengalami kemurungan musim sejuk.
• Pengamal perubatan umum, pakar psikiatri, dan ahli farmasi.
• Profesional yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental orang dewasa.
Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Oleh kerana corak bermusim dan kadar berulang yang tinggi, memulakan terapi antidepresan pada permulaan musim luruh (musim gugur) di mana orang masih bebas simptom kemurungan mampu membantu mencegah permulaan mood kemurungan. Matlamat ulasan ini adalah untuk menilai sama ada manfaat melebihi bahaya antidepresan apabila digunakan dalam kalangan orang sihat dengan sejarah kemurungan musim sejuk untuk mencegah permulaan kemurungan pada musim sejuk seterusnya. Sehingga kini, soalan ini tidak pernah dinilai secara sistematik.
Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?
Kami mencari pangkalan data sehingga Jun 2018 untuk kajian tentang antidepresan bagi mencegah kemurungan musim sejuk. Daripada 3745 rekod, kami menemui tiga kajian rawak terkawal yang menyertakan 1100 orang yang menerima bupropion pelepasan-terlanjut (hanya satu daripada banyak antidepresan sedia ada, tetapi satu-satunya yang dilesenkan untuk pencegahan kemurungan musim sejuk) atau plasebo. Kami tidak mendapati kajian-kajian ke atas antidepresan lain.
Apakah yang ditunjukkan oleh bukti-bukti daripada ulasan?
Di dalam populasi berisiko tinggi untuk mendapat episod kemurungan baru pada musim sejuk seterusnya, keputusan menunjukkan antidepresan boleh mengelakkan kemurungan musim sejuk untuk satu dari empat orang. Di dalam populasi berisiko lebih rendah untuk perulangan, antidepresan boleh mengelakkan episod kemurungan untuk seorang dari lapan orang. Tujuh yang lain mengalami kemurungan musim sejuk walaupun dengan rawatan atau tidak mengalami kemurungan musim sejuk. Orang yang menggunakan antidepresan berisiko lebih tinggi untuk mengalami sakit kepala, loya atau insomnia berbanding orang yang tidak mengambil antidepresan.
Para doktor perlu berbincang dengan pesakit mengenai kebaikan dan keburukan antidepresan dan rawatan pencegahan lain yang berpotensi untuk mencegah kemurungan musim sejuk, seperti rawatan cahaya, terapi psikologi atau intervensi gaya hidup. Oleh kerana tiada kajian sedia ada yang membandingkan rawatan-rawatan tersebut, keputusan untuk menyokong atau menyanggah rawatan pencegahan untuk SAD dan rawatan pilihan patut berdasarkan keutamaan pesakit.
Apa yang patut berlaku selepas ini?
Penulis ulasan mengesyorkan kajian masa depan harus membandingkan antidepresan dengan rawatan lain, seperti terapi cahaya, terapi psikologi atau ubatan lain untuk menentukan rawatan terbaik bagi mengelakkan kemurungan musim sejuk.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.