Mengapakah ulasan ini penting?
Ramai orang di latitud utara mengalami kesedihan musim sejuk, yang berlaku akibat tindakbalas kepada kekurangan cahaya matahari. Tiga perempat daripada mereka yang terlibat adalah wanita. Kelesuan, makan berlebihan, sangat inginkan karbohidrat dan perasaan murung adalah simptom lazim. Bagi sesetengah orang, kesedihan musim sejuk menjadi kemurungan, yang menjejaskan kehidupan seharian mereka dengan serius. Sehingga dua pertiga orang mengalami simptom kemurungan setiap musim sejuk.
Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?
Sesiapa yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk, atau mempunyai saudara-mara dan rakan-rakan yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk.
Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Oleh kerana corak bermusim dan kadar berulang yang tinggi, memulakan terapi cahaya pada permulaan musim luruh (musim gugur) di mana orang masih bebas simptom kemurungan mampu membantu mencegah permulaan mood kemurungan. Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada terapi cahaya boleh mencegah permulaan kemurungan musim sejuk apabila ia digunakan dalam kalangan orang sihat dengan sejarah kemurungan musim sejuk, dan jika ia selamat. Setakat ini, soalan ini belum pernah dinilai secara sistematik, tetapi ia penting bagi mereka yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk.
Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?
Kami telah mencari pangkalan data sehingga 19 Jun 2018 untuk kajian tentangi terapi cahaya bagi mencegah kemurungan musim sejuk. Di antara 3745 rekod, kami mendapati satu kajian rawak terkawal yang memasukkan 46 orang yang menerima terapi cahaya atau tiada rawatan. Semua individu dalam kajian tersebut mempunyai sejarah kemurungan musim sejuk.
Apakah yang ditunjukkan oleh bukti daripada ulasan ini?
Kualiti bukti untuk semua hasil adalah sangat rendah, jadi kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan sama ada terapi cahaya adalah berkesan dalam mencegah kemurungan musim sejuk. Kajian yang dimasukkan tidak memberi maklumat tentang kesan sampingan terapi cahaya.
Para doktor perlu berbincang dengan pesakit untuk mempertimbangkan kebaikan dan keburukan rawatan pencegahan terapi cahaya dan rawatan pencegahan lain yang berpotensi mencegah kemurungan musim sejuk, seperti rawatan ubatan, terapi psikologi atau intervensi gaya hidup. Oleh kerana tiada kajian yang membandingkan rawatan-rawatan tersebut, pilihan rawatan sepatutnya dilakukan berdasarkan keutamaan pesakit.
Apa yang sepatutnya berlaku selepas ini?
Para pengarang ulasan mengesyorkan kajian masa depan harus membandingkan secara langsung terapi cahaya dengan rawatan lain seperti rawatan ubatan, terapi psikologi atau intervensi gaya hidup untuk menentukan rawatan terbaik bagi mencegah kemurungan musim sejuk.
Diterjemahkan oleh Siang Ching Chieng Raymond. Dikemaskini oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.