Kesan ubat anti-keradangan bukan steroid terhadap fungsi buah pinggang dalam pesakit dengan fungsi buah pinggang yang normal yang menjalani pembedahan

Apakah isunya?

Ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs) menawarkan kelegaan kesakitan yang berkesan selepas pembedahan. Kecederaan buah pinggang akut (AKI) adalah kehilangan fungsi buah pinggang dengan cepat. Ia dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi. NSAIDs boleh menybebakan AKI sehingga 5% daripada pesakit yang menggunakannya. Ia meningkat apabila terdapat tekanan-tekanan lain diletakkan kepada buah pinggang seperti pembedahan. Oleh itu ia adalah penting untuk memastikan sama ada ubat-ubat ini selamat untuk digunakan untuk melegakan kesakitan untuk pesakit yang menjalani pembedahan. Tujuan ulasan ini adalah untuk memeriksa sama ada NSAIDs membawa kepada peningkatan kadar AKI dalam kalangan pesakit dengan fungsi buah pinggang yang normal yang menjalani pembedahan. Kami juga berhasrat untuk memeriksa sama ada NSAIDs dikaitkan dengan kadar kematian yang lebih tinggi, peningkatan tempoh tinggal di hospital dan keperluan untuk dialisis.

Apa yang kami lakukan?

Kami mengemas kini ulasan sebelum ini dengan mencari Daftar Khusus Cochrane Buah Pinggang dan Pemindahannya sehingga 4 Januari 2018 untuk kajian rawak terkawal (RCTs) yang membandingkan NSAIDs dengan plasebo dalam kalangan pesakit dengan fungsi buah pinggang yang normal yang menjalani pembedahan.

Apa yang kami temui?

Kami mengenal pasti 26 kajian melibatkan 8835 peserta. Risiko bias adalah tinggi dalam 17 kajian, tidak jelas dalam enam kajian dan rendah dalam tiga kajian. Penggunaan NSAIDs mempunyai kesan yang tidak dipastikan terhadap kejadian AKI berbanding dengan plasebo. Kualiti bukti adalah sangat rendah kerana percanggahan antara dua kajian tersebut. Satu kajian dihentikan awal oleh jawatankuasa pemantauan data kerana peningkatan kadar AKI dalam kumpulan NSAID dan kedua-dua kajian tersebut mengkaji dos NSAIDs yang lebih rendah daripada yang biasanya digunakan untuk melegakan kesakitan. NSAIDs mungkin meningkatkan sedikit serum kreatinin (penanda fungsi buah pinggang yang meningkat dalam kegagalan buah pinggang) berbanding dengan plasebo. Kualiti bukti adalah rendah. Kajian-kajian ini hanya melibatkan pesakit yang sihat, cergas. Tiada kesimpulan yang kukuh boleh dibuat daripada kajian-kajian yang memeriksa penghasilan air kencing kerana kaedah yang berbeza digunakan untuk pengukurannya. Adalah tidak pasti sama ada penggunaan NSAIDs membawa kepada peningkatan keperluan untuk terapi penggantian ginjal (dialisis), peningkatan kematian, atau peningkatan tempoh tinggal di hospital.

Kesimpulan

NSAIDs mempunyai kesan yang tidak dipastikan terhadap kadar AKI apabila digunakan dalam pesakit dengan fungsi buah pinggang yang normal selepas pembedahan. Adalah tidak pasti sama ada NSAIDs meningkatkan keperluan untuk dialisis. Oleh itu, data yang tersedia tidak dapat mengesahkan keselamatan NSAIDs untuk pesakit yang menjalani pembedahan. Kajian lebih lanjut melibatkan pesakit dengan masalah kesihatan yang lain adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information