Pembedahan payudara untuk kanser payudara metastatik

Soalan ulasan

Dalam kalangan wanita dengan kanser payudara metastatik (apabila kanser telah merebak ke bahagian lain badan), apakah keberkesanan pembedahan payudara (mastektomi: pembuangan seluruh payudara termasuk puting dan areola, atau lumpektomi: pembuangan tumor dan tisu payudara di sekelilingnya tetapi memelihara puting dan areola) dengan gabungan rawatan perubatan (seperti kemoterapi dan terapi hormon) berbanding rawatan perubatan sahaja?

Latar belakang

Kanser payudara metastatik dianggap sebagai penyakit yang tidak dapat diubati dengan prognosis yang buruk, walaupun sesetengah wanita boleh hidup selama bertahun-tahun. Ia dirawat secara tradisional hanya dengan rawatan perubatan. Pembedahan payudara dipercayai untuk paliatif dan dilakukan hanya untuk melegakan gejala seperti perdarahan, jangkitan, atau sakit setempat. Dengan perkembangan ubat baharu, wanita dengan kanser payudara metastatik hidup lebih lama, dan pembedahan payudara dapat memberi manfaat kepada kumpulan wanita ini. Data retrospektif (iaitu data dari jenis kajian selain kajian rawak terkawal yang lebih cenderung mengalami bias) mencadangkan pembedahan payudara dapat memperbaiki survival wanita dengan kanser payudara metastatik.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2016. Kami hanya menyertakan kajian rawak klinikal, kerana ia dianggap sebagai jenis kajian saintifik yang terbaik untuk menjawab soalan mengenai rawatan, yang membanding survival wanita yang menjalani pembedahan payudara digabungkan dengan rawatan perubatan berbanding dengan rawatan perubatan sahaja. Kami mengenal pasti dan memasukkan dua kajian rawak terkawal yang melibatkan sejumlah 624 wanita: 311 wanita menjalani pembedahan payudara serta rawatan perubatan, dan 313 wanita hanya menerima rawatan perubatan.

Keputusan-keputusan utama

Penulis ulasan tidak pasti sama ada pembedahan payudara meningkatkan survival keseluruhan kerana kualiti bukti dinilai sebagai sangat rendah. Kajian yang disertakan tidak melaporkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan kualiti hidup. Pembedahan payudara boleh meningkatkan kawalan penyakit setempat tetapi mungkin memburukkan lagi kawalan di tapak jauh. Kedua-dua kajian yang disertakan tidak mengukur survival kanser payudara spesifik. Ketoksikan dari terapi setempat dilihat sama dalam kumpulan yang menjalani pembedahan payudara yang digabung dengan rawatan perubatan dan dalam kumpulan yang hanya menerima rawatan perubatan.

Apakah maksudnya?

Adalah tidak mungkin membuat kesimpulan yang jelas tentang manfaat pembedahan payudara yang berkaitan dengan rawatan perubatan bagi wanita dengan kanser payudara metastatik. Keputusan untuk melakukan pembedahan dalam kes-kes seperti itu harus dilakukan secara individu dan dikongsi antara doktor dan pesakit, memandangkan kemungkinan potensi risiko dan faedah yang terlibat dalam pilihan ini. Kemasukan hasil kajian yang sedang berlangsung melibatkan wanita yang mempunyai ciri-ciri tersebut dalam ulasan seterusnya akan membantu mengurangkan ketidakpastian yang sedia ada.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information