Impak jangkaan pemulihan individu terhadap kesakitan, batasan dalam aktiviti dan kembali bekerja dengan sakit belakang

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada jangkaan pemulihan yang positif oleh individu dengan sakit belakang berkaitan dengan kesakitan pada masa akan datang, aktiviti yang mereka dapat lakukan dan kembali bekerja. Adakah individu yang berfikir bahawa mereka akan sembuh dari sakit belakang mereka lebih cenderung untuk sembuh?

Mesej-mesej utama

Individu dengan sakit belakang yang mempunyai jangkaan positif tentang pemulihan mereka adalah lebih mungkin untuk kembali bekerja dan pulih dari kesakitan dan meningkatkan aktiviti yang mereka dapat lakukan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Sakit belakang adalah mahal dan menyebabkan banyak kecacatan. Adalah penting untuk memahami apakah ciri-ciri individu dengan sakit belakang yang berkaitan dengan seberapa baik mereka akan pulih (juga dikenali sebagai 'prognosis'). Ciri-ciri individu sering tidak berubah, termasuk ciri seperti usia. Walau bagaimanapun, terdapat bukti bahawa jangkaan seseorang tentang pemulihan mungkin berubah. Sekiranya jangkaan positif pasti dikaitkan dengan hasil sakit belakang yang lebih baik, maka membantu seseorang untuk mendapatkan jangkaan positif tentang pemulihan mereka sendiri mungkin dapat membantu mereka untuk pulih.

Untuk ulasan ini, kami mengkaji tiga jenis jangkaan tentang pemulihan dan hubungannya dengan hasil sakit belakang: jangkaan umum tentang pemulihan (cth adakah sakit belakang anda hanya dalam masa yang singkat?), jangkaan keberkesanan diri (cth anda percaya anda akan dapat kembali ke aktiviti biasa anda?) dan jangkaan rawatan (cth adakah fisioterapi memperbaiki sakit belakang anda?).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menyemak 4635 rujukan dan memasukkan 60 kajian yang relevan. Kajian ini termasuk maklumat tentang 30,530 orang dengan sakit belakang. Mereka melihat jangkaan individu tentang pemulihan mereka sendiri dan bagaimana ia berkaitan dengan kesakitan mereka, batasan aktiviti dan kembali bekerja satu tahun selepas episod sakit belakang mereka.

Keseluruhannya, kami mendapati bukti yang baik bahawa jangkaan positif tentang pemulihan adalah berkaitan dengan kemungkinan yang lebih tinggi untuk kembali bekerja. Bukti tentang jangkaan pemulihan positif dengan pemulihan lain, batasan dalam aktiviti dan hasil intensiti kesakitan adalah tidak begitu kuat. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menunjukkan bahawa jangkaan positif pemulihan adalah berkaitan dengan hasil sakit belakang yang lebih buruk.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 12 Mac 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information