Mesej utama
Di kalangan penghidap hipertensi pulmonari yang stabil, pemulihan berasaskan senaman berkemungkinan besar selamat diamalkan dan dapat meningkatkan kualiti hidup. Bukti mengesyorkan bahawa pemulihan berasaskan senaman boleh membawa peningkatan besar dalam keupayaan bersenam dan pengurangan tekanan purata arteri pulmonari.
Apakah itu hipertensi pulmonari?
Hipertensi pulmonari adalah keadaan di mana tekanan darah di dalam arteri yang menyalurkan darah dari jantung ke paru-paru meningkat melampaui had normal. Selalunya ini bermula secara beransur-ansur, dan ianya menjejaskan semua peringkat umur, mengurangkan kualiti hidup mereka dan mengakibatkan kematian pramatang. Pemulihan berasaskan senaman disarankan untuk golongan penghidap penyakit paru-paru dan jantung kronik yang lain; walau bagaimanapun sehinggalah baru-baru ini, senaman tidak disarankan untuk penghidap hipertensi pulmonari.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengulas bukti daripada kajian klinikal yang direka dengan baik yang membandingkan pemulihan berasaskan senaman dengan penjagaan biasa.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang membandingkan latihan senaman dengan penjagaan biasa di kalangan penghidap hipertensi pulmonari (PH) untuk melihat sama ada senaman dapat memperbaik kesan jangka pendek dan jangka panjang seperti keupayaan bersenam, kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan, kesan sampingan yang serius dan perubahan bagi tekanan darah dalam peredaran pulmonari. Ulasan yang dikemas kini ini menyertakan14 kajian dengan sejumlah 574 peserta, dan kami turut menyertakan data daripada 11 kajian dalam analisa (462 peserta).
Apakah yang kami temui?
Kajian-kajian tadi melaporkan bahawa pemulihan berasaskan senaman dapat membawa peningkatan besar dalam keupayaan bersenam seperti yang diukur oleh sejauh manakah peserta boleh berjalan dalam masa enam minit dan tahap maksimum penggunaan oksigen menggunakan ujian senaman khusus; walau bagaimanapun, terdapat kepelbagaian yang ketara dalam maklum balas ini. Kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan juga berkemungkinan besar bertambah baik dan pemulihan berasaskan senaman juga boleh membawa pengurangan besar bagi tekanan darah dalam peredaran pulmonari. Kesan sampingan yang serius jarang berlaku dan pemulihan berasaskan senaman tidak mungkin meningkatkan risiko itu.
Apakah batasan bukti?
Bukti daripada kajian-kajian ini berkualiti rendah hingga sederhana. Batasan utama dalam kajian-kajian tersebut adalah kurangnya penyembunyian penguntukan (peserta mengetahui sama ada mereka berada dalam kelompok senaman atau tidak, yang boleh menyebabkan bias) dan kajian tidak melaporkan keputusan kesemua data hasil. Di samping itu, beberapa hasil seperti keupayaan bersenam, mempunyai maklum balas yang pelbagai, yang tidak dapat kami jelaskan dengan memeriksa sub-kumpulan peserta yang berbeza.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat 28 Jun 2022.
Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my