Pengambilan makanan untuk orang yang hidup selepas kanser

Latar belakang
Diet telah dikaitkan dengan kanser, dan garis panduan diet ada disediakan untuk pencegahan kanser. Orang selepas kanser didapati mempunyai kadar yang lebih tinggi untuk keadaan lain termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes, dan kanser lain. Oleh itu, adalah wajar bagi orang selepas kanser untuk melihat perubahan diet mereka. Adalah penting untuk menjalankan kajian ini untuk menilai bukti mengenai nasihat diet untuk orang yang telah selamat dari kanser.

Matlamat ulasan
Ulasan ini menilai bukti mengenai intervensi diet untuk orang selepas kanser.

Kualiti bukti
Kualiti bukti secara umumnya adalah rendah dan sangat rendah. Kebanyakan kajian tidak menilai intervensi pemakanan sebagai hasil utama ulasan, terutamanya kematian dan morbiditi. Walau bagaimanapun, beberapa hasil kajian dengan bukti kepastian sederhana yang memberi tumpuan kepada pengambilan makanan dan pengukuran fizikal. Kajian yang dimasukkan membandingkan intervensi diet dengan kawalan atau penjagaan biasa. Kami mengumpulkan data dari kajian terkawal secara rawak (RCT) yang sama untuk memberikan ringkasan anggaran kesan intervensi, dan kami menilai betapa yakin (pasti) akan kami terhadap penemuan ini dengan menggunakan kaedah yang telah kukuh (GRADE).

Penemuan-penemuan utama
Kami mengenal pasti 25 RCT yang melibatkan 27 perbandingan yang berbeza. Untuk beberapa hasil, kami mendapati ketiadaan bukti untuk intervensi diet. Kami mendapati beberapa bukti menunjukkan bahawa intervensi diet mungkin tidak mengubah pengambilan tenaga; namun, beberapa bukti menunjukkan mungkin ada sedikit peningkatan dalam pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran (bukti kepastian sederhana). Bukti mengenai serat makanan adalah bercampur dengan nasihat yang berbeza mengenai mengurangkan berat badan atau pemakanan sihat. Intervensi diet dibandingkan dengan kawalan mungkin meningkatkan Indeks Kualiti Diet (bukti kepastian sederhana). Untuk ukuran fizikal, kami mendapati kemungkinan terdapat pengurangan indeks jisim badan (BMI) untuk intervensi diet berbanding dengan kawalan (bukti kepastian sederhana) tetapi sedikit bukti yang menunjukkan perubahan dalam nisbah pinggang-ke-pinggul (bukti kepastian yang rendah). Untuk kualiti hidup (QoL), hasilnya adalah bercampur kerana pelbagai alat yang digunakan. Tiada kesan buruk yang dilaporkan.

Kesimpulan
Bukti yang ada menunjukkan bahawa intervensi diet boleh membantu dalam mengubahsuai pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dan kualiti diet; pengubahsuaian pengambilan serat adalah pelbagai, dan beberapa faedah dapat dilihat untuk pengukuran antropometrik, termasuk BMI. Kebanyakan bukti adalah berdasarkan kepada wanita dengan kanser payudara, jadi lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk pesakit dengan kanser lain. Jurang yang dikenal pasti dalam bukti melibatkan penggunaan teknologi baru, komorbiditi, dan data komposisi badan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information