Intervensi untuk gangguan pergerakan mata akibat kecederaan otak yang diperoleh

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui apakah rawatan yang berfungsi dengan baik untuk memperbaiki kedudukan mata dan gangguan pergerakan mata akibat kecederaan otak yang diperoleh, dan masa yang terbaik untuk menggunakannya.

Mesej-mesej utama
Kepastian bukti mengenai manfaat dan kemudaratan rawatan untuk gangguan pergerakan mata akibat kecederaan otak yang diperoleh pada masa ini adalah sangat rendah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kecederaan otak yang diperolehi adalah kecederaan yang berlaku selepas lahir dan menyebabkan kerosakan pada fungsi otak. Strabismus adalah keadaan di mana mata berada di luar penjajaran, dengan satu atau kedua-dua mata berpaling dalam, luar, atas atau bawah. Gangguan pergerakan mata (pergerakan mata) adalah kecacatan yang menghalang gerakan normal mata. Nistagmus adalah keadaan di mana pergerakan mata adalah tidak stabil dan, sebaliknya, mata goyah. Pilihan rawatan termasuk terapi mata, cermin mata, prisma, oklusi, toksin botulinum atau pembedahan, untuk mengurangkan lencongan atau pergerakan mata. Pada masa ini tiada cadangan yang jelas berkenaan masa yang terbaik untuk memberikan rawatan ini, kos rawatan ini dan sama ada rawatan memberi manfaat kepada orang yang mempunyai penjajaran mata dan gangguan pergerakan yang berlaku selepas mengalami kecederaan otak.

Apakah hasil utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane mendapati lima kajian yang berkaitan dengan sejumlah 116 peserta. Satu kajian adalah dari UK dan melihat toksin botulinum berbanding pemerhatian pada orang yang baru terjadinya palsi saraf keenam. Satu kajian dari Amerika Syarikat membandingkan latihan pergerakan mata dengan latihan palsu pada orang yang mengalami kecederaan otak traumatik ringan. Tiga kajian berlaku di Jerman atau Amerika Syarikat dan membandingkan rawatan ubat perubatan pada orang dengan nistagmus yang diperolehi. Ulasan ini memberikan:

∙ kepastian bukti yang rendah bahawa orang dengan palsi saraf keenam mungkin mempunyai peluang yang lebih baik sedikit untuk pengurangan gejala visual apabila diberikan toksin botulinum berbanding dengan tiada rawatan.
∙ kepastian bukti yang sangat rendah mengenai rawatan pergerakan mata untuk orang yang mengalami kecederaan otak akibat trauma dan penggunaan ubat-ubatan perubatan untuk nistagmus, di mana rawatan menunjukkan gejala yang sedikit lebih baik.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskinikan?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 26 Jun 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information