Mesej utama
Menyuntik toksin botulinum jenis A (rawatan seperti Botox) mengurangkan kedutan di antara alis, dan secara relatif selamat digunakan. Kesan kedut dilihat apabila diukur pada empat minggu selepas suntikan. Menyuntik toksin botulinum jenis A mungkin meningkatkan risiko drup kelopak mata. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai manfaat jangka panjang dan mudarat rawatan berulang dengan toksin botulinum.
Merawat kedutan wajah
Pergerakan otot yang berterusan di wajah boleh menyebabkan kulit berkedut apabila usia meningkat dan menjadi kurang anjal. Toksin botulinum jenis A adalah bahan kimia yang merelaks otot; ia dihasilkan oleh sejenis bakteria. Ia lazim diguna untuk melicinkan garis-garis dan kedut dengan menyuntiknya ke dalam otot-otot di wajah bagi menghentikan pergerakannya untuk tempoh yang singkat. Aktiviti otot biasanya berhenti sepenuhnya dalam masa lima hingga 15 hari selepas suntikan. Kesan pada otot adalah sementara dan biasanya bertahan sekitar empat hingga enam bulan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu berapa baik toksin botulinum dapat merawat kedutan di wajah, dan jika ia menyebabkan kesan yang tidak diingini.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menguji kesan toksin botulinum untuk merawat kedutan pada wajah.
Apa yang kami temui?
Kami temui 65 kajian melibatkan 14,919 orang (kebanyakan wanita) yang menghadiri klinik harian atau swasta untuk rawatan. Kajian-kajian berlangsung dari satu minggu hingga satu tahun; purata jangka masa rawatan adalah 20 minggu. Kajian-kajian membandingkan satu jenis toksin botulinum dengan jenis lain, dengan plasebo (suntikan yang tidak mengandungi toksin botulinum), atau dengan rawatan alternatif. Beberapa kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal.
Kajian-kajian menguji empat jenis toksin botulinum yang berlesen untuk pengunaan dan beberapa jenis lain yang belum berlesen.
Semua kajian menilai kejayaan rawatan dengan mengukur kedutan dan garis-garis ketika otot-otot wajah paling tegang. Kebanyakan kajian merawat kedutan yang timbul di antara alis, yang dikenali sebagai 'garis glabellar'.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Pada empat minggu selepas suntikan, semua jenis toksin botulinum mengurangkan garis glabellar melebihi plasebo. Kesan ini dilihat sama ada kedutan dinilai oleh doktor atau oleh orang yang disuntik.
Kesan tidak diingini mungkin lebih lazim dengan toksin botulinum berbanding suntikan plasebo. Kesan yang tidak diingini yang palin lazim dilaporkan adalah drup kelopak mata, juling (apabila mata menunjuk ke arah yang berbeza) dan kebas kelopak mata.
Dua kajian membandingkan dua jenis toksin botulinum dan tidak menemukan perbezaan antara jenis toksin terhadap berapa baik ia mengurangkan garis glabellar.
Apakah had bukti tersebut ?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga tinggi toksin botulinum mengurangkan kedutan antara alis lebih baik berbanding plasebo. Kami kurang yakin dengan beberapa bukti untuk perbandingan atau kajian lain, kerana sesetengah kajian hanya mendaftarkan bilangan kecil orang, dan dalam beberapa kajian, tidak jelas bagaimana orang diletakkan ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza atau jika orang tahu rawatan yang mereka terima. Penyelidikan lanjut mungkin meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti ini.
Adkah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2020.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my