Mengapa kita memerlukan zat besi dalam diet kita?
Zat besi adalah mineral penting yang ditemui dalam setiap sel badan. Ia diperlukan untuk membuat hemoglobin, protein yang membawa oksigen dalam darah. Molekul zat besi dalam hemoglobin mengikat oksigen dan membawanya dari paru-paru ke semua sel dan tisu dalam badan. Tahap hemoglobin yang rendah bermakna badan tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Anemia berkembang apabila tahap hemoglobin dalam darah jatuh terlalu rendah. Gejala-gejala anemia termasuk: keletihan dan kekurangan tenaga, tercungap-cungap, kulit pucat dan mudah menerima jangkitan.
Tahap hemoglobin yang rendah boleh disebabkan oleh kehilangan darah, kehamilan atau tidak memakan makanan mengandungi zat besi yang cukup (anemia kekurangan zat besi). Anemia kekurangan zat besi boleh dirawat dengan mengambil tablet zat besi atau memakan makanan yang kaya dengan zat besi.
Makanan yang diperkaya
Menambahkah mikronutrien (vitamin dan mineral) kepada makanan, sama ada mikronutrien itu asalnya ada atau tidak, dipanggil pengkayaan. Memperkaya makanan adalah satu cara untuk memperbaiki nutrisi dalam populasi.
Orang yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai zat besi yang mencukupi dalam diet mereka, dan mungkin berisiko mengalami anemia. Menambahkah zat besi dan nutrien lain kepada makanan yang secara rutin dimakan dalam kuantiti yang besar, seperti tepung, dianggap membantu mencegah anemia kekurangan zat besi.
Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Kami ingin mengetahui bagaimana penambahan zat besi, dan mineral dan vitamin lain, kepada tepung gandum mempengaruhi tahap zat besi dalam darah bagi populasi umum, dan sama ada kurang orang mengalami anemia atau keadaan kesihatan lain. Kami juga ingin mengetahui jika menambahkan zat besi kepada tepung gandum menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat memakan sebarang jenis makanan yang dibuat dengan tepung gandum mengandungi zat besi tambahan, atau makanan yang dibuat dengan tepung gandum tanpa zat besi tambahan. Kami kemudiannya membandingkan kajian antara satu sama lain, untuk mengetahui kesan penambahan zat besi kepada tepung gandum terhadap kesihatan orang dan tahap zat besi dan hemoglobin dalam darah mereka.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 21 Julai 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui 10 kajian dengan 3319 orang (berumur 2 tahun dan ke atas). Kajian-kajian itu berlangsung dari 3 bulan ke 24 bulan, dan berlaku di Bangladesh, Brazil, India, Kuwait, Filipina, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Kajian-kajian itu melihat kepada kesan-kesan:
- tepung gandum mengandungi zat besi tambahan (dengan atau tanpa mineral dan vitamin lain) berbanding dengan tepung gandum tanpa zat besi tambahan (tetapi dengan mineral dan vitamin lain yang sama);
- tepung gandum mengandungi zat besi tambahan dan mineral dan vitamin lain berbanding dengan tepung gandum tanpa sebarang mineral atau vitamin tambahan.
Tepung gandum yang digunakan dalam kajian-kajian itu mengandungi jumlah zat besi yang berbeza: iaitu kurang dari 40 mg/kg hingga lebih dari 60 mg/kg.
Kami berminat dengan:
- berapa ramai orang mengalami anemia (ditafsirkan oleh tahap hemoglobin yang rendah);
- berapa ramai orang mempunyai tahap zat besi yang rendah dalam darah mereka (kekurangan zat besi; diuji menggunakan biomarker);
- kepekatan hemoglobin dalam darah seseorang;
- berapa ramai kanak-kanak mengalami cirit-birit atau jangkitan pernafasan;
- berapa ramai kanak-kanak yang mati (dari sebarang sebab);
- tanda-tanda jangkitan atau keradangan (tindak balas badan terhadap kecederaan) dalam kanak-kanak (dengan menguji biomarker dalam darah); dan
- sebarang kesan-kesan yang tidak diingini.
Kebanyakan kajian mempunyai pelbagai sumber pembiayaan; beberapa dibiayai sebahagiannya oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri makanan, kimia atau farmaseutikal.
Apakah keputusan ulasan kami?
Berbanding dengan tepung tanpa zat besi tambahan (tetapi dengan mineral dan vitamin lain)
Tepung yang mengandungi zat besi tambahan (dengan atau tanpa mineral dan vitamin lain):
- mungkin mengurangkan anemia, sebanyak 27% (bukti dari 5 kajian, 2315 orang); dan
- mungkin tidak memberi perbezaan kepada risiko jangkitan atau keradangan dalam kanak-kanak (2 kajian, 558 kanak-kanak).
Adalah tidak jelas bagaimana tepung dengan zat besi tambahan mempengaruhi kekurangan zat besi (3 kajian, 748 orang), atau tahap hemoglobin (8 kajian, 2831 orang).
Berbanding dengan tepung tanpa sebarang mineral atau vitamin tambahan
Tepung yang mengandungi zat besi tambahan (dengan mineral dan vitamin tambahan) mungkin mengurangkan kekurangan zat besi (3 kajian, 382 orang). Adalah tidak jelas dari kajian-kajian itu bagaimana tepung yang mengandungi zat besi tambahan mempengaruhi anemia (2 kajian, 317 orang) atau tahap hemoglobin (4 kajian, 532 orang).
Tiada kajian melaporkan maklumat mengenai kesan-kesan yang tidak diingini, atau berapa ramai kanak-kanak yang mati, atau mengalami cirit-birit atau jangkitan pernafasan.
Keyakinan kami dalam keputusan kami
Keyakinan kami adalah sederhana ke rendah bahawa menambahkan zat besi kepada tepung mungkin mengurangkan kekurangan zat besi dan anemia. Kajian-kajian itu didapati menunjukkan pengurangan orang dengan kekurangan zat besi dan sedikit peningkatan tahap hemoglobin adalah berkaitan dengan tepung serta zat besi tambahan, tetapi keputusan berbeza secara meluas, maka kami tidak pasti mengenai kesannya. Keputusan-keputusan ini mungkin berubah jika bukti lebih lanjut menjadi tersedia. Kami menemui batasan dalam cara-cara beberapa kajian itu direka dan dijalankan, dan ini boleh mempengaruhi keputusan mereka.
Mesej-mesej utama
Menambahkan zat besi kepada tepung gandum mungkin menyebabkan pengurangan orang dengan anemia atau paras zat besi darah yang rendah dalam populasi umum.
Kami tidak mengetahui jika menambahkan zat besi kepada tepung gandum menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini, kerana tiada kajian yang meneliti perkara ini.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my