Soalan ulasan
Adakah sistem selang masa (TLS) memperbaiki peluang kehamilan dan bayi lahir hidup, dana mengurangkan risiko keguguran dan lahir mati?
Latar belakang
Persenyawaan in vitro (IVF) dan suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) adalah proses di mana telur wanita dan sperma lelaki digabung untuk mencapai persenyawaan di luar tubuh. Embrio disimpan di dalam Inkubator dan ditempatkan ke dalam tubuh wanita antara hari ke-2 hingga ke-5 pembentukan. Biasanya, embrio dikeluarkan dari inkubator untuk penilaian kualiti dan tahap pembentukan melalui mikroskop. TLS boleh mengambil imej embrio pada selang masa yang regular, dan ini membolehkan penilaian tanpa mengeluarkan embrio dari inkubator. TLS juga boleh mengaplikasi perisian yang membantu para embriologi memilih embrio berkualiti terbaik untuk perletakan, lantaran berpotensi memperbaiki peluang bayi.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019. Kami memasukkan sembilan kajian (kajian rawak terkawal, iaitu kajian di mana peserta dibahagi kepada satu dari dua kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) 2955 pasangan yang tidak subur yang menjalani IVF atau ICSI. Terdapat tiga jenis reka bentuk kajian: 1) TLS dengan penilaian konvensional imej TLS berbanding inkubasi konvensional dan penilaian; (2) TLS menggunakan perisian pemilihan embrio berbanding TLS dengan penilaian konvensional imej TLS; dan (3) TLS menggunakan perisian pemilihan embrio berbanding inkubasi konvensional dan penilaian.
Penemuaan ulasan
TLS dengan penilaian konvensional imej TLS berbanding inkubasi konvensional dan penilaian
Semua bukti untuk perbandingan ini adalah berkualiti rendah. Adalah tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan di antara intervensi-intervensi dalam kadar lahir hidup atau kehamilan atau keguguran. Bukti ini mencadangkan jika kadar lahir hidup atau kehamilan berkaitan dengan inkubasi konvensional dan penilaian adalah 35%, kadar dengan penggunaan TLS dengan penilaian morfologi konvensional imej TLS adalah di antara 27% dan 40%, dan jika kadar keguguran dengan inkubasi konvensional adalah 4%, kadar yang dikaitkan dengan penilaian morfologi konvensional imej TLS adalah di antara 4% dan 14%. Adalah tidak jelas sama ada terdapat perbezaan di antara intervensi-intervensi dalam kadar lahir mati atau kehamilan klinikal.
TLS menggunakan perisian pemilihan embrio berbanding penilaian konvensional imej TLS
Semua penemuan untuk perbandingan ini adalah sangat tidak menentu disebabkan bukti berkualiti rendah. Tiada data tentang lahir hidup, tetapi satu kajian melaporkan kehamilan. Adalah tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan di antara intervensi-intervensi dalam kadar kehamilan, keguguran, ataupun kehamilan klinikal. Bukti mencadangkan jika kadar kehamilan yang mengaitkan TLS dengan penilaian morfologi konvensional imej TLS adalah 47%, maka kadar dengan TLS menggunakan perisian pemilihan embrio adalah di antara 22% dan 52%, dan jika kadar keguguran yang dikaitkan dengan penilaian morfologi konvensional imej TLS adalah 5%, kadar yang dikaitkan dengan TLS menggunakan perisian pemilihan embrio adalah di antara 4% dan 15%. Tiada kajian melaporkan lahir mati.
TLS menggunakan perisian pemilihan embrio berbanding inkubasi konvensional dan penilaian
Semua penemuan untuk perbandingan ini sangat tidak menentu kerana bukti amat berkualiti rendah. Adalah tidak jelas sama ada terdapat perbezaan di antara jenis-jenis intervensi dengan kadar lahir hidup atau kehamilan klinikal. Bukti mencadangkan kadar keguguran yang lebih rendah di dalam kumpulan TLS untuk keguguran. Bukti mencadangkan jika kadar lahir hidup yang dikaitkan dengan inkubasi konvensional adalah 48%, kadar dengan pengunaan TLS adalah di antara 46% dan 55%, dan jika kadar keguguran dengan inkubasi konvensional adalah 11%, kadar yang dikaitkan dengan TLS adalah di antara 5% dan 10%.
Kesimpulan keseluruhan
Tiada bukti yang baik yang menunjukkan TLS lebih atau kurang berkesan berbanding kaedah konvensional untuk inkubasi embrio. Para pesakit mungkin ingin menyertai kajian rawak terkawal tentang TLS agar dapat menyumbang kepada bukti sedia ada dan membantu pesakit teknologi reproduktif berbantu di masa depan.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sangat rendah hingga rendah. Pembatasan utama adalah risikio bias yang tinggi dalam kajian-kajian yang disertakan, ketidaktepatan, tidak langsung, dan ketakkonsistenan.
Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my