Isunya
Semakin ramai orang yang masih hidup dan hidup lebih lama dengan kanser kerana diagnosis awal, rawatan yang lebih baik dan populasi yang semakin tua. Sebaliknya, terdapat peningkatan bilangan orang yang mempunyai kesan jangka panjang atau kesan berpanjangan disebabkan kanser dan rawatannya. Sebagai contoh, sehingga tujuh daripada 10 mangsa kanser mengalami perubahan dalam kemampuan mengenai ingatan, mempelajari perkara baru, menumpukan perhatian, merancang dan membuat keputusan tentang kehidupan seharian mereka, akibat daripada rawatan kanser. Ini dikenali sebagai gangguan kognitif dan mempunyai kesan yang ketara terhadap aktiviti harian pesakit kanser. Perubahan tersebut mungkin disebabkan oleh rawatan kanser sistemik tidak setempat, seperti kemoterapi dan selalunya dipanggil ‘chemo-fog’ atau ‘chemobrain’.
Matlamat ulasan
Kami mengulas kajian yang telah menguji intervensi yang bertujuan untuk memperbaik gangguan kognitif atau untuk mengekalkan fungsi kognitif antara orang yang telah dirawat dengan rawatan kanser sistemik.
Apakah penemuan utama?
Kami mengenalpasti lima kajian bersesuaian yang menghuraikan enam intervensi. Ini termasuk dua kajian amalan kemahiran kognitif berkomputer, dua program latihan kemahiran daya tindak kognitif, satu intervensi meditasi dan satu intervensi senaman. Kesemua lima kajian termasuk sejumlah 235 wanita yang telah dirawat untuk kanser payudara. Penemuan tersebut mencadangkan bahawa amalan kemahiran kognitif dan latihan kemahiran daya tindak kognitif mungkin berguna dalam menambahbaik laporan pesakit dan penilaian formal kognisi, serta kualiti hidup. Terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk mengetahui sama ada meditasi dan intervensi senaman mempunyai sebarang kesan pada kognisi.
Apakah kualiti bukti?
Kualiti bukti adalah rendah. Terdapat masalah dengan reka bentuk kajian dan, oleh itu, kami perlu berhati-hati tentang kesimpulan kami.
Apakah kesimpulannya?
Tiada bukti berkualiti baik yang mencukupi untuk mengetahui sama ada sebarang intervensi menambahbaik gangguan kognitif atau mengekalkan fungsi kognitif dalam kalangan orang yang telah menerima rawatan kanser sistemik. Terdapat beberapa kajian yang sedang dijalankan dalam bidang ini, yang mungkin memberikan bukti yang diperlukan pada masa hadapan.
Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my