Menggunakan soal selidik berstruktur (IQCODE) untuk mengesan individu-individu yang mungkin akan mendapat demensia

Latar belakang

Mengenal pasti dengan tepat mereka yang mempunyai demensia adalah perkara penting yang melibatkan masyarakat umum dan profesional. Demensia sering didiagnosis lewat, dan ini mungkin menyebabkan akses kepada sokongan kesihatan dan sosial yang sesuai tepat pada waktunya menjadi terhad. Terdapat minat yang semakin meningkat terhadap ujian-ujian yang mengesan demensia pada peringkat awal, sebelum gejala-gejalanya membawa kepada masalah ataupun menjadi semakin ketara. Satu cara untuk melakukan ini adalah dengan menguji seseorang dan menilai semula mereka dari masa ke masa untuk melihat jika mereka mendapat demensia.

Ulasan kami menumpukan pada ketepatan penilaian untuk demensia berdasarkan soal selidik, dipanggil IQCODE (Soal Selidik Kemerosotan Kognitif Warga Emas oleh pemberi maklumat). Kami menerangkan sama ada skor IQCODE awal boleh mengenal pasti orang yang akan mengalami demensia berbulan atau bertahun selepas penilaian IQCODE pertama mereka.

Kami mencari pengkalan data elektronik kajian-kajian penyelidikan yang telah diterbitkan, mencari semua kajian yang melihat kepada IQCODE dan diagnosis demensia kemudiannya. Kami mencari dari kertas-kertas kajian pertama yang tersedia dalam pengkalan data saintifik sehingga dan termasuk Januari 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui tiga kajian yang relevan, semuanya dijalankan di persekitaran hospital yang spesifik. Dua kajian hanya menyertakan pesakit-pesakit yang mengalami strok akut, dan yang lainnya menyertakan mereka yang mengalami kepatahan tulang pinggul. Kajian-kajian itu berbeza dalam banyak perkara, oleh yang demikian kami tidak dapat menganggarkan ringkasan gabungan keputusan mereka. Secara umumnya, IQCODE ‘positif’ mengesan pesakit-pesakit yang akan mengalami demensia (sensitiviti yang baik), tetapi mengenal pasti dengan salah orang yang tidak mengalami demensia (spesifisiti yang tidak baik). Kami tidak dapat memberi cadangan bagi amalan semasa, berdasarkan kajian-kajian yang kami ulas ini.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang disertakan menunjukkan beberapa cabaran bagi penyelidikan yang mengikuti mereka yang berisiko mengalami demensia dari masa ke masa. Tidak semua kajian mempunyai kaedah yang bagus untuk memastikan bahawa tiada peserta yang disertakan mempunyai demensia pada awal kajian, dan hanya kes-kes baru sahaja yang dikenal pasti. Begitu juga, kebanyakan peserta yang disertakan pada awal kajian tidak dapat dinilai semula, kerana kematian ataupun kerana menghidap penyakit-penyakit lain.

Ulasan ini dilakukan oleh kumpulan yang berpusat di pusat-pusat penyelidikan di UK (Glasgow, Edinburgh, Oxford). Kami tidak mempunyai dana luar khusus untuk kajian ini, dan kami tidak mempunyai konflik kepentingan yang mungkin mempengaruhi penilaian kami terhadap data penyelidikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information