Soalan ulasan
Kami menilai keberkesanan ekstrak cecair semulajadi Cyclamen europaeum yang dibekukan dan dikeringkan, sejenis ubatan herba daripada tuber Cyclamen europaeum, yang diberi sebagai semburan hidung berbanding rawatan palsu (plasebo) untuk menghilangkan atau menambahbaik sinusitis akut dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.
Latar belakang
Sinusitis akut adalah keadaan yang lazim berlaku apabila rongga tulang di sekitar hidung menjadi radang akibat jangkitan. Simptom termasuk hingus tebal, hidung tersumbat, sakit di muka, sakit kepala, demam, dan batuk. Simptom wujud sehingga lapan minggu dalam kalangan dewasa dan sehingga 12 minggu dalam kalangan kanak-kanak. Sinusitis akut paling kerap disebabkan oleh virus; komplikasi boleh berlaku jika jangkitan tersebar. Sinusitis akut adalah keadaan lazim yang melibatkan kos signifikan.
Pelbagai rawatan konservatif sedia ada untuk merawat sinusitis akut. Antibiotik lazim dipreskrib, tetapi garis panduan klinikal tidak bersetuju tentang bila antibiotik patut diberi untuk rawatan sinusitis akut. Beberapa kajian ke atas ekstrak Cyclamen europaeum yang diberi sebagai semburan hidung mencadangkan ia boleh membantu melegakan hidung tersumbat.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 18 Januari 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan dua kajian melibatkan 147 orang dewasa dengan sinusitis akut. Peserta dirawak untuk menerima Cyclamen europaeum dalam bentuk semburan hidung atau bahan tidak aktif untuk selama 15 hari.
Sumber pembiayaan kajian
Syarikat farmaseutikal membiaya kedua-dua kajian.
Keputusan-keputusan utama
Kami ingin mengetahui perkadaran peserta yang mana simptom hilang atau bertambah baik sehingga 14 hari dan 30 hari, tetapi tidak mendapati sebarang bukti. Kajian yang disertakan menyediakan data untuk perubahan skor simptom sinusitis akut dengan rawatan. Satu kajian melaporkan penambahbaikan dalam sakit di muka sehingga tujuh hari. Kedua-dua kajian tidak melaporkan komplikasi atau hari tidak hadir ke sekolah atau kerja.
Pesakit yang menerima Cyclamen europaeum berbanding bahan tidak aktif melaporkan lebih kesan sampingan seperti iritasi hidung, bersin, dan pendarahan hidung ringan. Tiada kesan sampingan major yang berlaku.
Kami tidak mendapat bukti sama ada Cyclamen europaeum berkesan atau tidak.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti kedua-dua kajian dan memutuskan bukti adalah boleh percaya sederhana hanya untuk hasil yang boleh dinilai, iaitu kesan sampingan. Satu kajian mempunyai kadar cicir yang tinggi (60%), tetapi ciciran telah dihuraikan dan diimbangkan di antara lengan-lengan kajian. Kami mendapati keputusan adalah konsisten di antara kajian-kajian untuk kejadian-kejadian buruk. Kedua-dua kajian tidak melaporkan sama ada penilai hasil kajian mengetahui mana rawatan yang diterima peserta. Oleh kerana bilangan peserta yang kecil dan kelemahan reka bentuk kajian, kami tidak pasti akan keputusan tersebut.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.